Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Merujuk kepada pembunuhan Jen. Soleimani oleh tentera Amerika Syarikat, Bekas Ahli Parlimen Eropah, Javier Couso mengatakan bahawa tindakan tersebut merupakan sebuah "jenayah perang yang jelas".
A.S telah membunuh individu yang telah memberikan sumbangan kritikal dalam usaha membasmi keganasan, kata Couso dalam wawancara bersama saluran Al Mayadeen.
Apa yang berlaku ialah serangan yang dibuat secara terang-terangan ke atas pegawai rasmi tentera Iran yang kemudiannya terbunuh di Iraq, katanya.
Soleimani merupakan seorang figur penting di kaca mata warga awam yang menderita akibat keganasan, katanya.
Tentera pengganas A.S membunuh Jeneral Soleimani dan Abu Mahdi al-Muhandis - Naib Ketua Unit Mobilisasi Popular (PMU) Iraq yang lebih dikenali sebagai Hashd al-Sha'abi - dalam sebuah serangan berhampiran lapangan terbang antarabangsa Baghdad awal pada 3 Januari.
Pentagon dalam satu kenyataan rasmi mengatakan bahawa serangan itu telah diarahkan secara langsung oleh Presiden Donald Trump.
Berikutan serangan itu, Tehran telah melancarkan serangan balas ke atas dua pangkalan tentera di Iraq yang dioperasikan oleh tentera A.S. Serangan itu setakat ini telah mencederakan 34 orang anggota tentera A.S di sebalik kenyataan awal Washington yang menafikan sebarang bentuk kecederaan di kalangan kakitangan mereka. -Agensi