6 Mei 2020 - 17:49
COVID-19: Pompeo Tiada Bukti Virus Dari Kebocoran Makmal - China

China hari ini membalas balik kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo, atas dakwaannya bahawa COVID-19 berasal dari makmal di Wuhan, dengan mengatakan bahawa beliau 'tidak mempunyai bukti'.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - China hari ini membalas balik kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo, atas dakwaannya bahawa COVID-19 berasal dari makmal di Wuhan, dengan mengatakan bahawa beliau 'tidak mempunyai bukti'.

Washington dan Beijing telah berulang kali bertelagah mengenai virus itu, yang muncul di China akhir tahun lalu tetapi sejak itu menjadi wabak global.

Teori konspirasi bahawa virus itu berasal dari makmal virologi dengan kawalan maksimum di Wuhan telah tersebar sejak awal tahun ini, tetapi dibawa ke arus perdana bulan lalu oleh pegawai pemerintah AS.

Pompeo pada Ahad lalu mengatakan bahawa terdapat "bukti besar" untuk menunjukkan bahawa coronavirus baharu itu berasal dari makmal China.

"Saya rasa perkara ini harus diserahkan kepada saintis dan profesional perubatan, dan bukan ahli politik yang berbohong untuk kepentingan politik domestik mereka sendiri," kata jurucakap kementerian luar negeri, Hua Chunying, pada taklimat media biasa.

"Pompeo berulang kali berbicara tetapi beliau tidak dapat mengemukakan bukti. Mana boleh berkata begitu? Kerana dia tidak memilikinya (bukti)," katanya.

Sebilangan besar saintis percaya bahawa virus baharu itu berpindah dari haiwan ke manusia, dengan kecurigaan ia berpunca di pasar di Wuhan yang menjual haiwan liar untuk daging.

Presiden AS, Donald Trump, semakin kritikal terhadap pengurusan wabak China, minggu lalu mengatakan beliau telah melihat bukti yang mengaitkan virus itu dengan makmal Wuhan dan mengancam mengenakan tarif perdagangan baharu terhadap Beijing.

AS adalah negara yang paling teruk dilanda COVID-19 dunia, dengan lebih 70,000 kematian.

Beijing telah menuduh AS berusaha mengalihkan perhatian dari penularan wabak dalam negara.

"Kami mendesak AS supaya berhenti ... mengalihkan fokus ke China," kata Hua.

"Ia seharusnya mengendalikan urusan dalam negara dengan betul terlebih dulu. Yang paling penting sekarang ialah mengawal penyebaran pandemik domestik AS dan memikirkan cara untuk menyelamatkan nyawa."

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan bahawa dakwaan AS mengenai asal usul virus itu "spekulatif".

Ahli epidemiologi AS yang terkenal, Anthony Fauci, telah mengulangi pernyataan WHO, memberitahu National Geographic bahawa semua bukti setakat ini "sangat menunjukkan" ia berasal semula jadi.

Namun, negara-negara termasuk AS dan Australia meminta penyelidikan mengenai bagaimana penyakit itu berubah menjadi pandemik global.

WHO juga mengatakan pihaknya sedang menunggu undangan dari China untuk turut serta dalam penyiasatannya mengenai asal-usul haiwan itu.

Namun, duta besar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Beijing di Geneva hari ini mengatakan bahawa China tidak akan mengundang pakar antarabangsa untuk menyiasat sumber COVID-19 sehingga selepas mendapat "kemenangan terakhir" terhadap virus terbabit. - AFP