Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Media satelit al-Alam di Yaman melaporkan para pejuang kabilah Hamazan dari Yaman telah menggempur sebuah pengkalan tentera Saudi di kota Najran sehingga dua kenderaan tentera di dalamnya terbakar.
Sumber tersebut melaporkan suku dari Yaman menyaksikan para pegawai dan tentera Saudi melarikan diri dari daerah Jizan, yang bertentangan dengan daerah Tihama selepas kemaraan para pejuang.
Laporan turut mengesahkan, berpuluh-puluh tentera Saudi terbunuh di bandar Najran, berhampiran dengan lokasi serangan.
Serangan kilat para pejuang Yaman ke atas daerah Abu Hamdan yang menghadap kota Najran menjadi punca utama terbunuhnya berpuluh-puluh tentera Saudi dan memusnahkan tiga kenderaan tentera.
Dalam masa yang sama, para pejuang Yaman dari berbagai kabilah mengumumkan kejatuhan helikopter Apache di wilayah Saada, Utara negara itu. Saluran al-Mayadeen dan al-Alam menyiarkan bangkai helikopter yang dikatakan jatuh setelah ditembak para pejuang ketika melancarkan serangan.
Jurucakap tentera Saudi, Ahmad al-'Asiri mendakwa kononnya helikopter tersebut membuat pendaratan cemas di sebuah lapangan terbang tentera Saudi berhampiran sempadan. Namun rakaman video tidak menunjukkan kawasan tersebut sebagai lapangan terbang, bahkan bentuk muka bumi dan keadaan helikopter menunjukkan kesan kemalangan yang jelas.