PUTRAJAYA 3 Mac – Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) Kementerian Dalam Negeri akan mengambil tindakan tegas dengan melarang kempen menulis dan membaca al-Quran dalam bahasa lain selain bahasa Arab yang dikenali Lets Read The Quran.
Pengerusi LPPPQ, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tindakan tegas tersebut akan dilaksanakan bersama dengan pihak berkuasa jabatan agama Islam negeri (JAIN) di seluruh negara di bawah Akta Pencetakan Teks al-Quran (APTQ)1986 dan Akta Mesin Cetak (AMCP) 1984.
Beliau berkata, tindakan menulis dan membaca naskhah al-Quran dalam bahasa lain selain daripada bahasa Arab adalah dilarang.
“Penulisan al-Quran dalam bahasa lain tanpa teks bahasa Arab tidak boleh dianggap sebagai al-Quran.
“LPPPQ mengambil perhatian serius terhadap kempen Lets Read The Quran yang mempromosikan usaha menulis dan membaca al-Quran dalam bahasa lain selain bahasa Arab dan tindakan untuk menyekat gerakan ini sedang dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kempen Lets Read The Quran yang dimulakan oleh sekumpulan individu sejak 2009 dan kempen bagi mempromosi usaha menulis dan membaca al-Quran dalam bahasa lain selain bahasa Arab diadakan selama sebulan bermula 1 hingga 31 Mac ini.
Menurut Harussani, al-Quran yang diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa bagi membolehkan mereka yang tidak memahami bahasa Arab memahami makna al-Quran, namun terjemahan itu bukan naskhah al-Quran tetapi dikenali ‘terjemahan al-Quran’ atau ‘tafsir al-Quran’.
“Namun begitu, terjemahan al-Quran hendaklah bersama-sama dengan teks al-Quran dalam bahasa Arab. Terjemahan al-Quran tanpa teks bahasa Arab adalah dilarang dan bimbang disalah faham, selain membacanya tidak mendapat pahala,” katanya.
Terdahulu pada Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kementerian melarang sebarang pencetakan dan penjualan naskhah terjemahan al-Quran tanpa teks bahasa Arab.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat LPPPQ dan selaras keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Ke-24 pada Jun 1989 yang memutuskan ‘adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada al-Quran dengan tulisan bukan huruf Arab atau bukan sistem tulisan al-Quran’.