7 Jun 2016 - 18:18
Presiden Assad: Aleppo menguburkan mimpi Erdogan

Berikutan peperangan sengit di Aleppo, Presiden Assad menjelaskan Aleppo telah menjadi tanah perkuburan untuk mimpi Erdogan yang sudah kalah perang.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Sambil menegaskan kerajaan Syria akan mencapai kemenangan, Presiden Bashar Assad berkata, operasi anti keganasan akan terus dilancarkan terhadap pemberontak Takfiri.

Beliau berkata demikian dalam Dewan Rakyat dengan membidas negara Turki dan berkata, rejim Recep Tayyip Erdogan sedang memberikan perhatian kepada Aleppo akibat kekalahannya di Syria. Kerana itu, tentera kerajaan telah menghadapi peperangan yang dahsyat dengan pengganas Takfiri yang dipercayai ditaja oleh Turki di Aleppo baru-baru ini.

"Aleppo akan menjadi tanah perkuburan bagi mimpi Erdogan," kata Assad kepada ahli penggubal undang-undang Syria di dalam dewan.

Tegas beliau lagi, "Operasi memerangi keganasan akan diteruskan dan pertumpahan darah tetap akan terjadi sehingga terrorisme dapat basmi."

Mengenai rundingan damai di Geneva, pemimpin Syria ini berkata pihak pembangkang yang disokong kuasa asing tidak memberikan reaksi terhadap dokumen deligasi kerajaan yang diserahkan kepada duta PBB, Staffan de Mistura.

"Ini jelas bahawa pihak yang satu ini terpaksa datang untuk berdialog. Mereka telah meletakkan pra-syarat, menyokong keganasan dan menghalang usaha gencatan senjata," kata Assad.

Presiden Assad memuji pilihanraya parlimen Syria yang dianggapnya sebagai luar biasa kerana peratusan yang keluar mengundi amat tinggi walaupun negara ini menghadapi berbagai kesukaran.