Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) – Sempena 40 hari kesyahidan Saidina Husain (a.s) di Karbala, komuniti Syiah di Seri Gombak telah menganjurkan majlis yang dikenali sebagai Arba’in. Majlis ini berlangsung dengan aman malam tadi dengan kehadiran pencinta-pencinta Ahlul Bait (a.s) dari sekitar Kuala Lumpur.
Pada 10 Muharam 61 Hijrah (680CE), cucunda Rasulullah (s.a.w) bernama Husain bin Ali bin Abi Talib (a.s) dan 72 pengikutnya telah dibunuh dengan kejam oleh tentara Yazid bin Muawiyah di Karbala. Di dalam kebudayaan Syiah, tanggal 20 Safar adalah hari yang menyedihkan dan riwayat daripada Imam Hasan al-Askari (a.s), 5 tanda seorang mukmin ialah mengerjakan solat wajib dan nafilah, membaca Ziyarah Arba’in pada 20 Safar, memakai cincin aqiq di tangan kanan, sujud di atas tanah dan membaca Bismillah dengan jelas ketika Solat di siang hari.
Majlis malam tadi diiringi ucapan dan doa daripada Ustaz Kamil Zuhairi.
Disember lalu hampir 200 orang pengikut Syiah yang menghadiri majlis Asyura telah ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang disusuli dengan beberapa fitnah terhadap Syiah. Tindakan, tuduhan dan penghinaan terhadap Syiah di Malaysia mendapat tumpuan dan perhatian media antarabangsa kerana ia bertentangan dengan fatwa-fatwa mufti mesir dan ulama universiti al-Azhar yang mengiktiraf mazhab Syiah Imamiyah dan dibolehkan beramal dengannya.
Manakala fatwa-fatwa yang digubal oleh pihak berkuasa agama Islam di Malaysia kelihatan tidak selaras dengan komitmen negara ini dengan resolusi yang disepakati oleh negara-negara Islam. Antaranya ialah deklarasi Amman pada bulan Julai 2005 di Jordan yang telah mengiktiraf keIslaman orang yang mengikuti 4 mazhab Ahlusunnah (Hanafi, Maliki, Shafi'i dan Hanbali) dan 2 mazhab Syiah (Jafari dan Zaydi).
