Selepas 24 tahun meninggal dunia, nama Ayatollah Ruhullah Musawi al-Khomeini (gambar) terus disebut-sebut di Malaysia walaupun kali ini pemimpin besar Revolusi Iran itu digunakan untuk menuduh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagai penganut fahaman Syiah.Timbulnya nama Khomeini kali ini sudah pasti menyebabkan beribu-ribu pemuda Malaysia menggunakan khidmat “Google” untuk mempelajari tentang siapakah manusia hebat ini. Daripada tidak tahu siapa itu Imam Khomeini kini mereka bukan sahaja mengenali tokoh itu malah mempelajari tentang Revolusi Iran yang pernah mengoncangkan dunia pada 1979.Mereka akan mempelajari bahawa 34 tahun lalu rakyat Iran bangkit untuk menumbangkan regim Mohamad Shah Reva Pahlavi dan menukar sistem pemerintahan negara itu daripada diperintah oleh raja kepada sebuah negara republik.Pemuda-pemuda Malaysia akan sedar, rupa-rupanya untuk menukar kerajaan tidak semestinya melalui pilihan raya. Terdapat banyak jalan lain seperti pilihan jalan raya.Yang lebih rajin akan mempelajari dengan lebih dalam lagi dan pasti akan bertemu dengan watak Dr Ali Shariati, orang yang dikatakan sebagai arkitek Revolusi Iran.Kehebatan Shariati dalam mengadunkan teori-teori Islam dan Marxist melahirkan buku-buku hebat seperti Hajj (The Pilgrimage), Fatima is Fatima, And Once Again Abu Dzar, Martyrdom: Arise and Bear Witness dan banyak lagi yang boleh dimuat turun dari Internet.Walaupun Shariati tidak dapat menyaksikan Revolusi Iran kerana meninggal dunia dua tahun sebelum berlakunya peristiwa bersejarah itu, namanya tetap dikenang sebagai di antara pencetus kebangkitan bangsa Parsi itu.Di antara peminat kepada Shariati adalah seorang menteri di dalam Kabinet Datuk Seri Najib Razak.Menteri tersebut malahan pernah terlibat dalam menerjemahkan karya-karya Shariati ke dalam bahasa Melayu.Sejarah juga merakamkan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali merupakan orang Malaysia terawal bertemu dengan Imam Khomeini pada 1978 di Paris, sebelum pemimpin besar itu pulang untuk “merasmikan” revolusi.“Jika isu bertemu dengan Khomeini, saya dikatakan Syiah, ini satu jenaka paling besar kerana pertemuan kita dengan sesiapa tidak harus menjadikan kita setuju atau mengikut fahaman mereka.“Isu Mat Sabu dikaitkan dengan Syiah, saya tak tahu. Itu beliau kena jawab dan tiada kena mengena pertemuan saya bersama Khomeini,” kata Ibrahim seperti dilaporkan The Malaysian Insider semalam.Selepas diserang hebat di laman-laman sosial, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini mengatakan mereka hanya mengeluarkan bukti-bukti “Gred B” dan apabila tiba masanya barulah yang “Gred A” akan dikeluarkan.KDN malah meminta Mat Sabu untuk memberikan bukti beliau bukan penganut fahaman Syiah.Jenaka apakah ini? Orang yang dituduh diminta buktikan mereka tidak bersalah? Hukum apa ini?
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar) seharusnya menghentikan lawak jenaka ini. Jika tidak, beliau akan terus dilihat tidak bijak.Sebelum bercakap lebih baik fikir dahulu. Ahmad Zahid merupakan seorang menteri kanan dan bukannya orang biasa. Jangan malukan Perdana Menteri kerana melantiknya menjadi anggota Kabinet.Kalau hendak menghentam Syiah sekali pun, gunakanlah fakta yang betul.Untuk pengetahuan Ahmad Zahid, di Iraq sudah beribu tahun wujud Syiah.Malah kebanyak imam mereka disemadikan di negara itu termasuk cucu kepada Nabi Muhammad, Hussein yang dibunuh kejam oleh kerajaan Yazid bin Muawiyah.Janganlah kata sebelum ada Syiah, Iraq merupakan sebuah negara aman. Sebab itu dalam ayat pertama Al-Quran Muhammad diminta untuk membaca.Apabila membaca bertambahlah ilmu. Jika tidak membaca, jadilah kita orang yang tidak bijak.Arab Saudi yang merupakan negara Wahabi terbesar di dunia juga tidak pernah menghalang orang Syiah dari Iran, Iraq, Syria dan serata dunia untuk mengerjakan ibadah haji.Jangan sampai kita “lebih sudu daripada kuah.”Tak pasal-pasal lebih 50 peratus rakyat Malaysia yang tidak mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum 2013 mengenali Khomeini dan berjumpa formula “baru” untuk menyelesaikan masalah mereka. – 15 Disember, 2013.
14 Disember 2013 - 20:30
News ID: 488918
