1 Jun 2014 - 09:23
Kristian anggap Islam saingan utama dakwah

Penyelidik terkemuka agama-agama Ibrahimi berkata, "Pembinaan hospital dan universiti di negara-negara Islam merupakan jalan dakwah Kristian. Hospital terbaik di Baghdad dimiliki oleh Kristian. Walaupun umat Islam tidak menjadi Kristian ketika berinteraksi dengan pusat-pusat perubatan ini, namun mereka percaya bahawa Kristian lebih baik dari Islam".

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Forum "Metodologi Dakwah Kristian Katolik" telah berlangsung pagi semalam dengan ucapan seorang penyelidik agama Ibrahimi, Dr Ali Shaykh di Kompleks Majma Ahlul Bait, Qom.

Dr. Ali Shaykh memulakan ucapan dengan manyatakan, "Agama yang wujud di dunia ini terbahagi kepada agama tauhid dan bukan tauhid. Manakala agama tauhid terbahagi kepada empat agama iaitu Islam, Kristian, Yahudi dan Sa'ibi. Allah (s.w.t) juga telah memperkenalkan agama Majusi sebagai agama (Ahli Kitab) di dalam surah al-Haj (ayat 17)".

Tambah beliau lagi, "Di dalam dunia terdapat 500 ribu penganut agama Sa'ibi yang tidak berusaha menyebarkan agama mereka dan mereka hanya menjaga kepentingan diri masing-masing. Yahudi juga tidak berdakwah namun Kristian maju dalam beberapa jurusan dakwah".

Penyelidik agama Ibrahimi yang sebelum ini penganut agama Kristian menceritakan kemajuan bidang dakwah dalam agama Kristian dengan menyatakan, "Terdapat tiga mazhab dalam agama Kristian, iaitu Katolik, Ortodoks dan Protestant yang mana golongan paling maju dalam berdakwah ialah Katolik dan setelah itu pula Ortodoks. Manakala Protestant pula kelihatan tidak berdakwah namun sekurang-kurangnya amat mementingkannya".

Ali al-Shaykh menambah, "Katolik mempunyai sistem yang amat utuh dalam bidang dakwah dan lebih hebat dari Kristian Protestant. Keligitimasian penyampaian khabar Kristian terdapat pada ayat akhir Injil Matius yang mana Isa al-Masih berpesan tentang penyampaian khabar Kristian kepada golongan Hawariyun sebelum baginda diangkat ke langit. Sementara itu penyampaian dakwah bagi mereka adalah wajib. Sekiranya individu Kristian tidak mampu berdakwah mereka boleh menyumbangkan dana kepada gereja-gereja sehingga para paderi dapat menyampaikan dakwah".

Beliau turut menceritakan tentang dakwah Kristian dan berkata, "Nabi Isa (a.s) lahir di Palestin dan para muridnya telah bertebaran ke negara-negara jiran. Sebahagian mereka pergi ke Rom. Dalam pertebaran ini, dakwah Kristian benar-benar berkesan sedangkan Nabi Isa (a.s) diutuskan untuk umat Bani Israel. Namun para murid baginda menyampaikan agama ini untuk kaum-kaum lain. Di zaman Empayar IIIX, Rom telah menjadi Kristian dan arahan pemusnahan anasir syirik dan larangan penyembahan berhala telah dikeluarkan. Kerana itu seluruh jajahannya ikut menjadi Kristian".

Ali Shaykh menyentuh tentang Nabi Isa yang cuba digambarkan oleh blok Barat sebagai orang Eropah, beliau berkata, "Semua Pope Vatikan merupakan orang Eropah. Mereka tidak akan izinkan orang yang bukan Eropah menjadi Pope Vatikan".

Mengenai dakwah Kristian di Timur, beliau menyatakan, "Sejak kurun ke empat, iaitu setelah perang Salib, Kristian mula menggerakkan dakwah mereka ke Timur. Taurat dan Injil telah diterjemahkan ke bahasa Arab dan karya yang mengkritik pandangan Islam menurut Kristian telah dibukukan... Para paderi dalam kurun ke 17 dan 18 telah mengambil kesempatan ke atas penjajahan benua Asia dan Afrika untuk menjalankan kegiatan tabligh. Sebelum ini belum ada sedikitpun orang Kristian di China dan India, namun sekarang Kristian mempunyai populasi seramai 150 juta".

Sambil menceritakan metodologi dakwah secara langsung dan tidak langsung dalam agama Kristian, beliau menambah, "Metologi tidak langsung merupakan cara yang lebih berkesan berbanding metodologi secara langsung. Mereka melaksanakan metodologi tidak langsung dengan kegiatan kebudayaan dan kemasyarakatan. Sebagai contoh, 100 orang telah menjadi Kristian di Sulaimaniah, Iraq. Faktor penukaran agama ialah seorang jutawan wanita Sweden berusia 60 tahun datang ke kawasan ini bersama beberapa orang paderi. Pada mulanya dia membangunkan sebuah tadika. Kemudian mengasaskan sekolah rendah dan perlahan-lahan mereka mengajar pandangan-pandangan Kristian".

Pensyarah hawzah dan universiti ini menegaskan, "Pembinaan hospital dan universiti di negara-negara Islam merupakan jalan dakwah Kristian. Hospital terbaik di Baghdad dimiliki oleh Kristian. Walaupun umat Islam tidak menjadi Kristian ketika berinteraksi dengan pusat-pusat perubatan ini, namun mereka percaya bahawa Kristian lebih baik dari Islam".

Tambah beliau lagi, "Dengan teknik yang bukan secara langsung mereka dapat memenuhi keperluan-keperluan penduduk beberapa kawasan seperti masalah ekonomi, kesenian dan kebudayaan. Cara ini tidak membangkitkan kesensitivitian, malah mereka datang dengan penampilan kebajikan masyarakat".

Selain itu beliau mengesahkan golongan Kristian juga mengirim para mubaligh dan menambah, "Para paderi Kristian dapat berdakwah dalam apa jua keadaan kerana tidak berkahwin dan tidak terikat dengan kepentingan hidup. Sebagai contoh, terdapat sebuah kampung di Pakistan yang tidak mempunyai bekalan air, elektrik dan tandas. Dengan pendekatan dakwah yang dijalankan beberapa paderi, penduduk kampung itu telah menjadi Kristian sedangkan sesorang insan biasa tidak mampu bertahan untuk tinggal dan hidup di sana walaupun selama satu minggu".

"Vatikan mempunyai beberapa institut besar yang mana ia menyediakan pelajaran khusus berasaskan keperluan-keperluan setiap negara. Setiap tahun mereka mengutuskan ribuan orang dari institut ini.

"Kristian menggunakan saluran satelit, televisyen, internet, radio, majalah dan risalah bagi tujuan penyampaian. Dalam tahun 1980, belanjawan tahunan untuk radio Asia Selatan bagi dakwah Kristian yang dipancarkan dalam 26 bahasa ialah sebanyak 20 juta dollar.

"Kristian juga menggunakan teknik menghancurkan akidah agama lain bagi menyabitkan pandangan-pandangannya. Ia juga menerangkan keraguan-keraguan tentang al-Qur'an, Islam dan peribadi Rasulullah (s.a.w)", jelas beliau.

"Kita bergantung kepada perspektif persamaan di kalangan agama-agama dalam dialog antara agama, namun ketika berinteraksi dengan agama-agama lain dalam kehidupan, kita dapat menyatakan pandangan kita sendiri di samping mencabar pandangan-pandangan pihak lain.

"Kristian juga menganggap saingan utama dakwah mereka adalah Islam, bukan Buddha dan Hindu. Kristian mempunyai masalah logik dan pandangan-pandangan mereka tidak dapat diterima oleh akal. Kita perlu mengutarakan pandangan intisari Islam yang baik dari segi kerohanian dan kebijaksanaan Islam, manakala para pendakwah hendaklah mempunyai pandangan terbuka dalam kawasan sasaran dakwah, dengan ini kita mampu berdialog dengan mereka di samping membuktikan kebenaran Islam," tutur beliau lagi.

Dr Ali Shaykh di akhir ucapannya berkata, "Dakwah Katolik amat rapi berbanding dakwah Protestant. Ini disebabkan mereka mempunyai kerajaan, individu dan pertubuhan antarabangsa yang membela mereka di seluruh dunia".