30 Jun 2014 - 19:29
Tiada ulama Sunni yang mendukung militan ISIL

Imam solat Jumaat Sunni bertegas, tiada ulama yang mendukung pengganas ISIL

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Seorang Imam solat Jumaat di Iran menegaskan bahawa ulama Sunni juga menentang kumpulan pengganas yang melakukan kekejaman di Iraq.

Sheikh Abdul Wahed Khajavi yang merupakan imam solat Jumaat Sunni di Shiraz menegaskan bahawa tidak ada ulama Sunni samada di Iraq atau Syria mahupun di dunia Islam yang menyokong pengganas Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL).

Beliau berkata, kumpulan militan tidak boleh dikaitkan dengan Islam kerana semua gerakan Muslim sejak kedatangan Islam mempunyai ulama sebagai pemimpinnya.

Khajavi menambah, ISIL telah dicipta melalui komplot musuh demi memecah belahkan umat dan melemahkan agama Islam.

Selain itu menurutnya, pihak musuh sedar betapa kuatnya Islam sekiranya penganut agama ini bersatu, kerana itu mereka cuba membangkitkan pengganas Takfiri untuk melemahkan perpaduan Islam.

Beliau turut menyatakan kekesalan terhadap pemerintah beberapa negara Islam yang telah menyediakan sokongan kepada kumpulan pengganas semata-mata kerana ingin mengekalkan kekuasaan.

Selain itu, beliau turut menyeru semua umat Islam Iraq samada Sunni, Syiah atau Kurd agar sentiasa berhati-hati terhadap skim musuh yang bertujuan untuk membelah bahagikan bumi Iraq dan melemahkan umat Islam di negara ini.

Beliau melanjutkan kata-kata dengan berdoa agar dengan pertolongan Allah, konspirasi musuh tidak lama lagi akan gagal di Iraq dan kumpulan pengganas yang  membunuh orang tidak berasalah akan segera musnah.

Kumpulan pengganas ISIL Takfiri pada 10 Jun lalu telah menawan kota Mosul dan Nineveh, diikuti dengan kejatuhan Tikrit yang terletak kira-kira 140 kilometer Barat Laut Baghdad.

Sepanjang beberapa hari lalu, askar Iraq telah terlibat dalam pertempuran sengit dengan pengganas yang mengancam akan meluaskan keganasan mereka ke beberapa kota di Iraq termasuk Baghdad.

Namun, kemaraan ISIL berjaya dihadang oleh gabungan askar Iraq dan angkatan relawan sehingga pengganas tersebut terpaksa melarikan diri ke beberapa kawasan. Sementara itu kota Tikrit telah berjaya dibebaskan kembali oleh askar kerajaan pada hari Sabtu lalu.