30 November 2016 - 12:46
Menteri Luar Perancis Panggil Majlis Keselamatan Bersidang Untuk Bincang Situasi Di Aleppo.

Menteri Luar Negara Perancis, Jean-Marc Ayrault memanggil Majlis Keselamatan untuk bersidang dalam usaha membincangkan situasi di Aleppo.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Luar Negara Perancis, Jean-Marc Ayrault memanggil Majlis Keselamatan untuk bersidang dalam usaha membincangkan situasi di Aleppo, Syria.

Kementeria Luar Perancis menambah bahawa situasi adalah amat mendesak untuk menamatkan pertempuran sekaligus membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa sebarang kekangan.

"Berhadapan dengan bencana kemanusiaan yang dahsyat, Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault mendesak supaya Majlis Keselamatan segera bersidang untuk mengkaji situasi di Aleppo sekaligus memikirkan cara untuk menyalurkan bantuan ke rakyat awam," baca sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian tersebut.

Walaubagaimanapun, tindakan Ayrault dan kementeriannya dianggap tidak jujur khususnya oleh Rusia yang menganggap perkara itu adalah helah mereka untuk menarik perhatian dunia daripada situasi yang ada di Mosul, Iraq. Vitaly Churkin yang merupakan wakil Rusia ke PBB berkata bahawa situasi di Mosul lebih kritikal berbanding dengan apa yang wujud di Aleppo.

Tindakan Perancis itu juga dibuat ketika tentera Syria mencapai kejayaan yang besar dengan membebaskan 40 peratus daripada kawasan timur Aleppo yang dikuasai beberapa kumpulan militan termasuk Jabhat al-Nusra.

Pihak Rusia dan Syria kini giat membantu penduduk awam yang melarikan diri daripada cengkaman kumpulan militan berikutan kejayaan di atas. Mereka sebelum ini dihalang oleh para militan daripada melarikan diri ke kawasan yang dikuasai oleh tentera kerajaan melalui koridor kemanusiaan yang disediakan oleh pihak Damsyik. Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa penduduk awam itu dijadikan sebagai perisai manusia oleh kumpulan pengganas untuk melindungi kepentingan mereka di timur Aleppo.