3 Disember 2016 - 17:12
Britain Tidak Hulur Sebarang Bantuan Di Syria, Jadi Jangan Sabotaj Usaha Pihak Lain:  Rusia

Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Mejar Jeneral Igor Konashenkov berkata bahawa dakwaan Perdana Menteri UK, Theresa May yang menuduh Rusia mengganggu penghantaran bantuan kemanusiaan ke Aleppo sebagai tidak berasas.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Mejar Jeneral Igor Konashenkov berkata bahawa dakwaan Perdana Menteri UK, Theresa May yang menuduh Rusia mengganggu penghantaran bantuan kemanusiaan ke Aleppo sebagai tidak berasas.

Beliau juga berkata bahawa Britain tidak sepatutnya menghalang usaha Rusia menghantar bekalan tersebut ke Syria dengan dakwaan sedemikian memandangkan Britain sendiri tidak menghantar sebarang bantuan ke negara Arab itu.

Sebelum ini, Daily Mail melaporkan bahawa jurucakap Theresa May berkata bahawa Moscow telah mengganggu penghantaran bekalan kemanusiaan ke Aleppo kerana mereka telah menolak sebuah perjanjian gencatan senjata yang akan memberikan laluan selamat untuk penghantaran tersebut.

"Selama ini, penduduk awam di kawasan timur Aleppo telah menerima bantuan kemanusiaan, perubatan dan pakaian pada setiap hari daripada Pusat Pendamaian Semula Rusia dan kerajaan Syria sendiri. UK pula, sepanjang perang saudara tercetus gagal membekalkan 1 gram tepung sekalipun, ubat mahupun selimut untuk membantu orang awam," kata Konashenkov.

Beliau turut mengatakan bahawa segala syarat yang perlu untuk Britain menghulurkan bantuannya ke Aleppo wujud.

"Nampaknya disebabkan oleh Rusiafobia, kerajaan Britain telah kehilangan perspektif objektifnya tentang apa yang berlaku di Syria termasuk Aleppo," kata beliau lagi.

"Tiada bantuan kemanusiaan Britain untuk Aleppo, jadi jangan halang bantuan orang lain pula," tegasnya.