23 Januari 2017 - 19:05
Turki Cabul Kedaulatan Syria, Sokong Pengganas:Dan Halang Keamanan: Ketua Delegasi Syria

Ketua delegasi Syria di dialog Astana, Bashar Jaafari menuduh Turki sebagai menyokong kumpulan pengganas di Syria.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Ketua delegasi Syria di dialog Astana, Bashar Jaafari menuduh Turki sebagai menyokong kumpulan pengganas di Syria.

"Turki adalah sebuah negara yang telah mencabul kedaulatan Syria, membantu kumpulan pengganas dan menghalang sebarang bentuk solusi politik untuk membawa keamanan ke Syria," kata Bashar Jaafari yang juga merupakan duta negara Arab itu ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Delegasi Turki, Iran dan Rusia turut serta di dalam dialog yang berlangsung di Astana, Kazakhstan. Mereka menyertai persidangan itu sebagai penjamin kepada gencatan senjata yang diperkenalkan pada 29 Disember lepas. Sebelum persidangan itu bermula, delegasi Syria telah bertemu dengan delegasi Iran dan Rusia. Akan tetapi mereka enggan berjumpa dengan delegasi Turki.

Dialog Astana dijangka akan mengambil kira beberapa isu seperti penguatkuasaan gencatan senjata sedia ada, peperangan melawan pengganas dan juga pencariaan solusi politik untuk mengakhiri konflik berdarah di Syria. Akan tetapi objektif utamanya adalah untuk mengesahkan dan memperkukuhkan perjanjian gencatan senjata di Syria yang diumumkan oleh kerajaan Assad pada 29 Disember lalu.

Sebelum ini, beberapa siri dialog telah dilaksanakan dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mencapai objektif yang sama. PBB juga telah melantik wakil khas berkaitan isu Syria untuk mempermudahkan proses damai di sana dan setakat ini 3 buah dialog berasingan telah dianjurkan oleh badan itu. Akan tetapi, kesemua dialog itu gagal membuahkan hasil yang dikehendaki.

Konflik di Syria bermula pada tahun 2011 apabila kumpulan bersenjata yang didanai oleh kerajaan asing memulakan operasi bersenjata mereka di bumi tersebut.