18 Februari 2017 - 13:20
Mohon Maaf Atau Kami Saman, Amaran Hindraf Kepada Mufti Perlis

Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) mengugut akan memfailkan saman fitnah terhadap kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin semalam.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) mengugut akan memfailkan saman fitnah terhadap kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin semalam.

Asri dalam satu kenyataan semalam mendakwa Hindraf terkenal menimbulkan kontroversi perkauman dan sengaja memetik ajaran Zakir Naik di luar konteks.

Asri berkata demikian sebagai mengulas tindakan Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy meminta Amerika Syarikat (AS) mengambil tindakan terhadap Zakir yang dituduhnya menggalakkan keganasan.

Kini, Waythamoorthy mahu Asri memohon maaf dalam tempoh 5 hari atau tindakan undang-undang akan menyusul.

Waythamoorthy pada sidang media di ibu pejabat Hindraf hari ini berkata, mungkin Asri gagal memahami permintaan kepada kerajaan AS kerana beliau tidak mahir berbahasa Inggeris.

“Anda ialah orang yang dihormati dalam masyarakat Islam di Malaysia. Saya tidak patut beri nasihat kepada anda, tetapi apabila anda membuat dakwaan, anda mesti tahu sumber dan fakta anda.

“Mungkin anda tidak memahami bahasa Inggeris dengan baik, jadi sila dapatkan nasihat daripada seseorang yang mampu membaca dan menjelaskan kandungan surat saya kepada setiausaha negara AS.

Jika anda berfikir anda sudah membuat kesilapan, saya beri anda peluang memohon maaf dalam tempoh 5 hari akan datang.

Jika saya tidak mendengar apa-apa daripada anda, saya akan mengarahkan peguam saya mengambil tindakan terhadap anda.”

Waythamoorthy kemudian mengkritik kelayakan Asri dengan berkata, beliau pakar dalam Islam, tetapi bukan pakar dalam isu keganasan global.

“Ancaman keganasan global melibatkan kepimpinan tertinggi negara dan angkatan tentera berurusan dengannya. Anda bukan pakar.”

Ajaran Zakir sentiasa diketahui menggalakkan keganasan, katanya sambil memetik pengeboman Dhaka tahun lalu yang meragut 22 nyawa di Bangladesh.

“Ia terbukti yang individu terbabit dalam pengeboman Dhaka menjadi radikal dan didorong ajaran Zakir,” katanya.

Waythamoorthy juga memberi amaran ajaran Zakir bukan sahaja boleh mempengaruhi rakyat Malaysia, tetapi juga ramai warga Bangladesh dan pekerja Indonesia di negara ini.

“Orang-orang ini boleh menjadi radikal disebabkan beliau dan mereka boleh menggalakkan keganasan di Malaysia. Seseorang yang yang menggalakkan keganasan tidak harus dibenarkan berada di Malaysia.”

Tahun lalu, golongan bukan Islam menentang kehadiran Zakir ke negara ini selepas pelbagai dakwaan yang ajarannya menghina agama lain.

Ramai yang bimbang ajaran Zakir boleh memudaratkan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Oleh: Tarrence Tan