20 Februari 2017 - 14:53
22 Pelarian Mohon Suaka Di Kanada

Sekurang-kurangnya 22 pelarian melarikan diri dari Amerika Syarikat (AS) dan menuju Kanada minggu lalu, dengan merentasi sempadan wilayah Manitoba bagi memohon suaka.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sekurang-kurangnya 22 pelarian melarikan diri dari Amerika Syarikat (AS) dan menuju Kanada minggu lalu, dengan merentasi sempadan wilayah Manitoba bagi memohon suaka.

Pegawai tempatan di Emerson, Greg Janzen, berkata kebanyakan pelarian yang berasal dari Afrika itu merentasi sempadan sejak kelmarin dan lapan daripada mereka berjaya dalam usaha itu.

Bandar Emerson terletak kira-kira 120 kilometer dari selatan Winnipeg dan bersempadan dengan Dakota Utara dan Minnesota di AS.

Ia mudah dibolosi kerana kebanyakan kawasan tidak mempunyai garisan sempadan rasmi, sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah pemohon suaka sejak Presiden AS, Donald Trump mengenakan sekatan perjalanan.

Trump dari Parti Republikan yang mengambil alih jawatan Presiden AS pada Januari lalu, bertindak menyegerakan arahan sekatan sementara ke AS bagi rakyat tujuh negara majoriti beragama Islam dan semua pelarian.

Di bawah perjanjian dua hala, pemohon suaka dari AS biasanya akan dihantar pulang sebaik melepasi sempadan rasmi ke Kanada. Namun, perjanjian itu tidak terpakai kepada mereka yang merentasi sempadan secara haram di lain-lain lokasi. -AFP.