23 Februari 2017 - 19:16
Pesawat Netanyahu Elak Ruang Udara Indonesia

Penerbangan rasmi Perdana Menteri Israel, El Al dari Singapura menuju ke Sydney, terpaksa mengambil masa lebih 11 jam berbanding hanya lapan jam setengah lazimnya selepas terpaksa dilencongkan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Penerbangan rasmi Perdana Menteri Israel, El Al dari Singapura menuju ke Sydney, terpaksa mengambil masa lebih 11 jam berbanding hanya lapan jam setengah lazimnya selepas terpaksa dilencongkan.

Pesawat dinaiki Benjamin Netanyahu itu dikatakan terpaksa dilencongkan sehingga dua jam setengah ketika menuju ke Sydney untuk mengelak daripada melalui ruang udara Indonesia.

Beliau tiba di Sydney kira-kira jam 6.30 pagi semalam dalam rangka lawatan empat hari, pertama kalinya seorang Perdana Menteri Israel melawat Australia.

Seorang anggota delegasi Netanyahu mengesahkan lencongan laluan itu kepada akhbar The Guardian. El Al, penerbangan kebangsaan Israel itu dilarang melalui ruang udara banyak negara Islam termasuk Pakistan.

Indonesia, negara dengan jumlah penduduk Islam terbesar di dunia daripada keseluruhan 240 juta penduduk menyokong penuh perjuangan rakyat Palestin.

Ia tidak menjalin sebarang hubungan diplomatik secara rasmi dengan Israel, tetapi membenarkan beberapa perjalanan dan perdagangan. -The Guardian