3 Mei 2017 - 17:51
Turki Teruskan Sekatan Ke Atas Laman Wikipedia

Seorang pegawai Turki berkata bahawa sekatan ke atas laman sesawang Wikipedia akan diteruskan sehingga ensiklopedia mematuhi arahan mahkamah yang mengarahkan pengendali laman itu membuang kandungan bersifat anti-kerajaan yang dianggap Ankara sebagai tidak benar.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Seorang pegawai Turki berkata bahawa sekatan ke atas laman sesawang Wikipedia akan diteruskan sehingga ensiklopedia mematuhi arahan mahkamah yang mengarahkan pengendali laman itu membuang kandungan bersifat anti-kerajaan yang dianggap Ankara sebagai tidak benar.

"Adalah mustahil untuk membenarkan akses kepada laman Wikipedia sehingga arahan kehakiman dipatuhi," kata ketua agensi komunikasi Turki, Omer Fatih Sayan yang dinukilkan oleh akhbar Hurriyet.

Pihak Berkuasa Informasi dan Teknologi Turki, (BTK) telah menyekat kesemua akses kepada wikipedia.org di seluruh negara itu pada 29 April. Sebuah mahkamah di Ankara pada 1 Mei kemudiannya mengukuhkan sekatan itu dengan mengeluarkan sebuah arahan rasmi.

Media tempatan mengatakan bahawa akses kepada Wikipedia disekat selepas laman sesawang itu gagal membuang 2 laman berbahasa Inggeris yang mengaitkan kerajaan Turki kepada aktiviti beberapa kumpulan pengganas. Perkara itu dianggap Ankara sebagai tidak benar.

Para pengguna internet dilaporkan masih gagal mengakses laman itu sehingga hari Rabu.

Menurut Hurriyet, Wikipedia Foundation telahpun membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah tersebut.

Sepanjang beberapa tahun lepas, kerajaan Turki semakin kerap menyekat akses kepada beberapa laman popular termasuk Facebook dan Twitter setiap kali berlaku tunjuk perasaan ataupun serangan militan di negara sekutu Barat itu.

Ankara juga kerap menekan pihak media dan kumpulan pembangkang yang dipercayai mempunyai peranan di dalam percubaan rampasan kuasa Julai 2016.

Percubaan rampasan kuasa yang dilancarkan oleh sebahagian pihak daripada angkatan tentera negara itu berjaya dipatahkan oleh rakyat Turki.