Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Filipina menghantar helikopter penggempur dan pasukan khas untuk mengusir pemberontak dari bandar raya ini selepas pertempuran setakat ini meragut nyawa enam tentera.
Tentera darat bersembunyi di sebalik tembok dan kenderaan perisai sambil berbalas tembakan dengan Maute, menyasarkan ke kawasan tinggi yang dikuasai kumpulan militan itu.
Maute menawan bandar raya ini di selatan pulau Mindanao sejak dua hari lalu.
Helikopter mengelilingi bandar itu, menyerang tanpa henti kedudukan Maute dengan serangan mesingan untuk cuba memaksa mereka beralih dari sebuah jambatan penting dalam usaha menawan semula Marawi.
Pemberontak membakar dan merampas sebuah sekolah, penjara dan gereja serta menawan puluhan tebusan di bandar raya yang mana majoriti daripada 200,000 penduduk beragama Islam.
"Tentera sedang melakukan operasi besar-besaran di kawasan yang kami percaya masih ditawan atau dipenuhi pengganas," kata ketua pasukan khas, Brig Jeneral Rolly Bautista.
Pertempuran dengan kumpulan Maute, yang sudah menyatakan ketaatan kepada Daesh, bermula Selasa apabila serbuan pihak berkuasa gagal melumpuhkan kumpulan itu, sebaliknya bertukar menjadi pertempuran besar dan mencetuskan huru-hara di sini. Tentera berkata, 18 pemberontak terbunuh semalam. - Reuters
25 Mei 2017 - 19:27
News ID: 831960
Filipina menghantar helikopter penggempur dan pasukan khas untuk mengusir pemberontak dari bandar raya ini selepas pertempuran setakat ini meragut nyawa enam tentera.