Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Agensi bantuan bergelut untuk membantu ratusan ribu Muslim Rohingya yang kehilangan tempat tinggal akibat keganasan di barat laut Myanmar berikutan berdepan permusuhan meningkat daripada pelampau Buddha Rakhine.
Mereka menuduh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan asing hanya membantu penduduk Islam.
Setakat ini, kerajaan Myanmar hanya membenarkan akses kepada pertubuhan Palang Merah ke kawasan itu.
PBB menggantung kegiatan dan memindahkan kakitangan bukan kritikal selepas kerajaan menuduh ia menyokong pemberontak Rohingya.
Selain berdepan cuaca buruk, laluan sukar dan halangan birokrasi, Palang Merah juga bertembung samseng berang, yang percaya agensi bantuan asing tidak mengendahkan penderitaan golongan Buddha Rakhine di negeri paling miskin Myanmar itu.
Rabu lalu, samseng di sini, ibu kota Rakhine cuba menghalang bot membawa bantuan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) ke utara, tempat serangan pemberontak Rohingya 25 Ogos lalu menyebabkan jeneral Myanmar mengarahkan pembersihan tentangan.
Samseng bersenjatakan kayu, pisau dan bom petrol hanya disuraikan selepas polis melepaskan peluru getah.
Empat hari sebelumnya, sebuah trak Palang Merah Myanmar ditahan dan digeledah penduduk Rakhine di sini.
"Dengan ketegangan meningkat di Rakhine, kakitangan kemanusiaan dan kontraktor persendirian berdepan cabaran serius dalam menyelamat nyawa," kata Jurucakap Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB di Myanmar, Pierre Peron. -REUTERS
23 September 2017 - 18:18
News ID: 855962
Agensi bantuan bergelut untuk membantu ratusan ribu Muslim Rohingya yang kehilangan tempat tinggal akibat keganasan di barat laut Myanmar berikutan berdepan permusuhan meningkat daripada pelampau Buddha Rakhine.