Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Imbasan muka atau cap jari akan diwajibkan kepada pembeli kad SIM baru di Thailand, mulai bulan depan dalam usaha kerajaan negara itu membasmi penipuan elektronik dan menggalakkan perbankan internet.
Peraturan baru biometrik itu yang turut dilaksanakan di Bangladesh, Arab Saudi dan Pakistan, akan bermula pada 15 Disember,
Setiausaha Agung Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Kebangsaan (NBTC), Takorn Tantasith, berkata ada yang menggunakan dokumen palsu ketika mendaftarkan kad SIM dan pelaksanaan imbasan muka atau cap jari membolehkan perbandingan dengan pangkalan data kad pengenalan Thailand.
Pelancong akan diwajibkan imbasan muka bagi dibandingkan dengan gambar dalam pasport mereka.
Kepincangan dalam peraturan pendaftaran kad SIM di Thailand menjadi perhatian Jun lalu, selepas polis menahan tiga rakyat China yang membeli hampir 400,000 kad SIM untuk sindiket penipuan.
Mereka memberitahu polis, diupah syarikat China untuk meningkatkan jumlah ‘likes’ produk syarikat terbabit melalui telefon pintar yang disambung ke komputer.