Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Bangladesh dan Myanmar bersetuju memulakan proses menghantar pulang etnik Islam Rohingya dalam tempoh dua bulan, kata Dhaka hari ini, ketika tekanan global meningkat berhubung krisis pelarian itu.
Lebih 620,000 Rohingya membanjiri Bangladesh sejak Ogos lalu, lari daripada tindakan keras tentera Myanmar yang dikatakan Washington minggu ini jelas melambangkan 'pembersihan etnik.'
Selepas beberapa minggu bergelut dengan terma penghantaran semula, kedua-dua pihak mencapai satu perjanjian di ibu kota Myanmar di Naypyidaw hari ini susulan rundingan antara pemimpin awam Aung San Suu Kyi dan Menteri Luar Bangladesh, A H Mahmood Ali.
Dalam satu kenyataan ringkas, Dhaka berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan proses penghantaran pulang pelarian dalam tempoh dua bulan.
Ia berkata, satu kumpulan kerja akan ditubuhkan dalam tempoh tiga minggu untuk bersetuju dengan urusan penghantaran pulang.
"Ini adalah langkah penting. Mereka (Myanmar) akan menerima semula Rohingya. Kini kami perlu mula bekerja," kata Ali. Tidak jelas berapa ramai Rohingya akan dibenarkan pulang dan tempoh proses diambil.
Kumpulan hak asasi menyuarakan kebimbangan berhubung proses itu, termasuk di mana etnik minoriti itu akan ditempatkan semula selepas ratusan perkampungan mereka dibakar dan bagaimana keselamatan mereka dijamin di sebuah negara di mana sentimen anti-Islam memuncak.
Tandatangan perjanjian itu dilakukan sebelum lawatan profil tinggi Paus Francis ke kedua-dua negara, yang lantang terhadap nasib Rohingya. -AFP
23 November 2017 - 16:10
News ID: 868660
Bangladesh dan Myanmar bersetuju memulakan proses menghantar pulang etnik Islam Rohingya dalam tempoh dua bulan, kata Dhaka hari ini, ketika tekanan global meningkat berhubung krisis pelarian itu.