29 November 2017 - 17:38
Palestin Di Ambang Penyatuan

Hamas dijangka menyerahkan wilayah yang dikuasai mereka sejak 10 tahun lalu pada Jumaat ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyatupadukan Palestin di bawah satu pentadbiran.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Hamas dijangka menyerahkan wilayah yang dikuasai mereka sejak 10 tahun lalu pada Jumaat ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyatupadukan Palestin di bawah satu pentadbiran.

Langkah itu juga diharap dapat meningkatkan peluang untuk memeterai satu lagi perjanjian damai dengan Israel selepas beberapa cubaan sebelum ini menemui kebuntuan.

Berdasarkan perjanjian awal yang ditandatangani pada bulan Oktober lalu, pihak berkuasa Palestin pimpinan Perdana Menteri, Mahmoud Abbas dijangka mengambil alih pentadbiran Semenanjung Gaza bermula 1 Disember ini.

Ketika ini, pasukan bersenjata Hamas yang terdiri daripada kira-kira 25,000 anggota masih menguasai wilayah terbabit dan hanya akan meletakkan senjata jika diarah untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu, seorang penduduk tempatan, Abu Abed Abu Sultan, 53, memberitahu, apa yang rakyat Palestin mahukan daripada penyatuan kedua-dua pihak ini adalah pemulihan ekonomi dan pembukaan pintu sempadan negara.

“Kami tidak meminta banyak. Cukuplah sekiranya dapat hidup seperti penduduk di negara lain.

“Namun, saya akui masih bimbang sekiranya perjanjian damai kali ini akan menemui kegagalan seperti sebelum ini,” katanya yang juga seorang penjual kopi.

Beberapa penganalisis pula berpendapat, proses rundingan damai kali ini mungkin sukar untuk ditelah.

Profesor sains politik daripada Universiti Al-Azhar di Gaza, Mkhaimar Abusada berkata, proses berkenaan mungkin memakan masa lebih lama dan berlangsung dalam tempoh yang agak panjang.

“Jadi, sukar untuk diketahui sama ada ia akan membuahkan hasil atau tidak pada masa depan,” ujar beliau. – AFP