Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Korea Utara ‘membisu’ berhubung pertemuan yang dirancang diadakan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan, dipercayai mahu bersikap lebih berhati-hati.
Jurucakap Kementerian Penyatuan Korea Selatan, Baik Tae-hyun memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas rasmi daripada Korea Utara berhubung pertemuan itu.
“Saya merasakan mereka mengambil kira perkara ini dengan berhati-hati dan memerlukan masa untuk menjelaskan pendirian,” kata beliau.
Media Korea Utara memaklumkan tentang kunjungan delegasi kanan dari Korea Selatan pada minggu lalu tetapi tidak membuat liputan tentang jemputan pemimpin mereka, Kim Jong-un untuk bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump atau Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in bagi membincangkan masa depan program senjata nuklear Pyongyang.
Delegasi Korea Selatan yang membawa jemputan itu ke Washington kini dalam rangka kunjungan ke China dan Jepun bagi memaklumkan perkembangan terbaharu rundingan tersebut.
Ketua Pejabat Keselamatan Kebangsaan Korea Selatan, Chung Eui-yong yang mengetuai delegasi itu akan berlepas ke Rusia esok selepas bertemu Presiden China, Xi Jinping, hari ini.
Trump bersetuju bertemu Jong-un pada penghujung Mei ini dan kedua-dua negara Korea itu akan mengadakan rundingan pada hujung April.
Lokasi pertemuan masih belum ditetapkan untuk pertemuan antara kedua-dua negara berkenaan namun Jong-un dan Jae-in dijangka bertemu di perkampungan Panmunjom yang terletak di antara kedua-dua sempadan negara berkenaan.
Tae-hyun berkata, Korea Utara dan Korea Selatan bersetuju untuk mengadakan rundingan itu bagi memperincikan rundingan antara kedua-dua negara tetapi mereka belum mengeluarkan kenyataan rasmi sejak delegasi Korea Selatan kembali ke negara mereka, minggu lalu.
Agensi berita rasmi Korea Utara mengalu-alukan usaha kedua-dua negara untuk memperbaiki hubungan tetapi mereka berterusan memberi amaran kepada AS dan Jepun yang menimbulkan isu peperangan. – Reuters
12 Mac 2018 - 16:54
News ID: 885440
Korea Utara ‘membisu’ berhubung pertemuan yang dirancang diadakan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan, dipercayai mahu bersikap lebih berhati-hati.