3 September 2019 - 08:06
al-Manar Siarkan Serangan Hizbullah Ke Atas Tentera Israel

Saluran berita al-Manar yang terkait dengan gerakan Hizbullan Lubnan telah menyiarkan klip video yang menunjukkan serangan pejuang kumpulan itu ke atas kedudukan tentera rejim Zionis di wilayah yang diduduki Israel.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Saluran berita al-Manar yang terkait dengan gerakan Hizbullan Lubnan telah menyiarkan klip video yang menunjukkan serangan pejuang kumpulan itu ke atas kedudukan tentera rejim Zionis di wilayah yang diduduki Israel.

Klip video itu dimulakan dengan sedikit pengenalan berhubung kem tentera Avivim yang terletak di utara negara haram Israel. Pengenalan itu turut merangkumi sebuah kem lain yang telah ditinggalkan oleh tentera Zionis.

Video tersebut diteruskan dengan rincian tertentu berkaitan dengan kem Avivim yang menurutnya terdiri daripada beberapa pusat kawalan. Ia turut melaporkan bahawa kem itu dikawal oleh 100 orang pegawai dan ratusan tentera lain. Menurut video itu lagi, kem itu digunakan tentera rejim untuk melancarkan beberapa operasi ketenteraan termasuk operasi pengumpulan maklumat dan penyelengaraan.

Video itu kemudiannya menunjukkan dua buah kenderaan tentera tanpa penumpang yang ditempatkan oleh tentera rejim dalam rangka untuk mengelirukan pejuang Hizbullah.

Para pejuang Hizbullah kemudiannya dilihat melancarkan peluru anti-kereta kebal terhadap kenderaan berperisai rejim Zionis sebelum kenderaan itu dilihat meletup dan terbakar.

Serangan itu dilancarkan seminggu selepas Israel melakukan serangan udara yang membunuh dua orang anggota Hizbullah di Syria serta serangan dron mereka yang dilancarkan di selatan Beirut. -PRESS TV