Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Sabtu

25 Januari 2020

7:21:02 PTG
1005452

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat melaporkan bahawa puluhan anggota tenteranya mengalami kecederaan akibat daripada serangan peluru berpandu Iran pada awal bulan ini di sebalik dakwaan awal Washington yang menafikan kecederaan tersebut.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat melaporkan bahawa puluhan anggota tenteranya mengalami kecederaan akibat daripada serangan peluru berpandu Iran pada awal bulan ini di sebalik dakwaan awal Washington yang menafikan kecederaan tersebut.

Pentagon pada hari Jumaat berkata bahawa 34 anggotanya telah didiagnosis dengan kecederaan otak traumatik berikutan serangan peluru berpandu Iran pada 8 Januari lepas.

"Tiga puluh empat anggota telah didiagnosis dengan gegaran otak dan TBI (kecederaan otak traumatik)," kata jurucakap Pentagon, Jonathan Hoffman kepada para pemberita di dalam sidang akhbar yang berlansung di kompleks Pentagon.

Hoffman berkata bahawa lapan anggota tentera A.S yang sebelum ini telah dibawa ke Jerman telahpun dipindahkan ke Amerika Syarikat. Akan tetapi, sembilan yang lain dilaporkan masih berada di sana.

"Mereka akan menerima rawatan lanjut di Amerika Syarikat, sama ada di Walter Reed (hospital ketenteraan berhampiran Washington) atau di pangkalan mereka," katanya.

Sembilan mangsa yang lain "masih menjalani penilaian dan rawatan di sana (di Jerman)," katanya.

Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melancarkan peluru berpandu balistik ke atas Ain al-Asad, sebuah pangkalan udara utama yang menempatkan kira-kira 1,500 anggota tentera A.S. Serangan itu turut menyasarkan sebuah lagi pangkalan tentera A.S di Erbil, Iraq.

Serangan peluru berpandu itu merupakan respon IRGC terhadap pembunuhan Jeneral Iran Qassem Soleimani dari Pasukan Quds IRGC di tangan tentera A.S di Iraq.

Pembunuhan itu juga mengakibatkan kematian Abu Mahdi al-Muhandis, yang merupakan Naib Ketua Unit Gerakan Popular (PMU) Iraq. Pembunuhan kedua-dua mereka turut menyemarakkan sentimen anti-A.S di Iraq dengan Parlimen dan warga awam negara itu kini berusaha untuk menuntut pengunduran penuh tentera A.S dari negara Arab tersebut.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sehari selepas serangan balas Iran mendakwa bahawa "tidak ada orang tentera A.S yang mengalami kecederaan dalam serangan malam tadi".

"Kami tidak mengalami kecederaan, semua tentera kami selama dan hanya kerosakan minimum dilaporkan di pangkalan tentera kami," katanya.

Pentagon juga pada awalnya menolak sebarang angka kecederaan daripada serangan itu.

Presiden Trump juga gagal menunaikan ugutannya sebelum ini yang ditujukan kepada Iran sekiranya negara Timur Tengah itu bertindak membalas dendam di atas kematian Jeneral Soleimani. 

..............................

Berita Tamat/315