Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Isnin

20 November 2023

7:32:12 PTG
1413593

Dewan Rakyat kenang penderitaan kanak-kanak Gaza

KUALA LUMPUR: Bersempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia hari ini, Dewan Rakyat mengenang penderitaan ratusan ribu kanak-kanak di Gaza yang masih bergelut dengan konflik perang.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata pada masa ini seluruh dunia begitu terkesan dengan perang Palestin-Israel yang semakin meruncing dan memasuki hari ke-45.

"Sehingga hari ini, lebih 700,000 kanak-kanak di Gaza kehilangan tempat tinggal, lebih 4,600 orang kehilangan nyawa dan hampir 9,000 orang lagi cedera.

"Marilah kita mendoakan agar semua kanak-kanak khususnya yang berada di Gaza diberikan perlindungan daripada sebarang bentuk kezaliman," katanya sebelum sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat bermula pagi ini.Terdahulu, Johari berkata, tarikh hari ini penting untuk semua pihak memperbaharui tekad melindungi hak kanak-kanak berdasarkan Konvensyen Hak Kanak-kanak pada 1995 terutama berkaitan dengan hak kanak-kanak iaitu kelangsungan hidup, perlindungan, pembangunan serta penyertaan kanak-kanak. "Ahli Yang Berhormat, marilah bersama-sama kita lindungi kanak-kanak agar mereka membesar dalam keadaan yang sejahtera, selamat dan sihat. "Justeru, saya mengingatkan bukan saja kepada Ahli Yang Berhormat, malah kepada semua pemegang amanah termasuk ibu bapa, penjaga, pendidik, sektor korporat dan awam serta masyarakat seluruhnya agar sentiasa menjalankan tanggungjawab dalam memastikan mereka dapat membesar bebas daripada diskriminasi, keganasan dan eksploitasi dalam suasana yang selamat dan sejahtera. "Selamat Hari Kanak-Kanak Sedunia saya ucapkan," katanya. Sempena memperingati golongan itu, Parlimen Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan pameran Hari Kanak-Kanak Sedunia di lobi utama bermula 11 pagi, manakala sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia diadakan di Foyer Parlimen 1 tengah hari ini.

342/