Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Sinar Harian
Sabtu

25 Ogos 2018

2:52:40 PTG
906814

Rohingya Tuntut Keadilan

Ribuan pelarian Rohingya melancarkan bantahan hari ini untuk menuntut keadilan pada ulang tahun pertama tindakan keras tentera Myanmar yang memaksa mereka melarikan diri ke kem di Bangladesh.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Ribuan pelarian Rohingya melancarkan bantahan hari ini untuk menuntut keadilan pada ulang tahun pertama tindakan keras tentera Myanmar yang memaksa mereka melarikan diri ke kem di Bangladesh.

Kira-kira 700,000 minoriti Islam Myanmar itu menyeberangi sempadan selepas serangan dilakukan tentera dan pelampau Buddha, dianggap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai pembersihan etnik.

Mereka mengadakan perarakan dan menghadiri perhimpunan aman sambil melaungkan "Kami mahu keadilan daripada PBB."

Di kem Kutupalong, pelarian Rohingya bertindak memasang satu kain rentang gergasi bertulis “Tidak Lagi: Hari Memperingati Genosid Rohingya. 25 Ogos 2018."

Pada 25 Ogos tahun lalu, pemberontak Rohingya didakwa merancang serangan ke atas pos kawalan polis, tindakan berkenaan mencetuskan tindak balas yang membawa kematian sejumlah besar penduduk etnik Rohingya.

Ramai melarikan diri ke Bangladesh dengan mendakwa menjadi mangsa rogol, diseksa selain rumah dan kampung dibakar.

Pihak berkuasa Myanmar menafikan tuduhan berkenaan dan menegaskan mereka hanya menyasarkan golongan radikal.

Sementara itu, Mohammad Hossain, 40, yang menyertai bantahan di Kutupalong berkata beliau tidak akan melupakan peristiwa yang berlaku pada 25 Ogos tahun lalu.

"Kami mahu mereka (kerajaan Myanmar) mengiktiraf kami sebagai Rohingya. Kami sedih kerana kami tidak berada di tanah air sendiri," katanya.

Seorang lagi lelaki Rohingya, Noor Kamal berkata: "Kami berdepan pembersihan etnik di Myanmar, jadi kami mahu keadilan." - AFP