Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Amerika Syarikat dilaporkan berusaha untuk mencipta sebuah "negara Sunni" di wilayah Anbar, Iraq dalam usaha untuk melestarikan kehadiran pasukan tenteranya di negara Arab itu ketika berhadapan dengan gesaan daripada negara dan bangsa Iraq untuk mengusir semua tentera asing dari wilayah-wilayah mereka.
Washington sejak beberapa minggu kebelakangan ini dilaporkan giat mempromosikan rancangan untuk mewujudkan wilayah autonomi Sunni di barat Iraq, lapor Middle East Eye (MEE).
Pegawai dari kedua-dua negara telah memberitahu MEE bahawa usaha A.S itu dibuat sebagai tindak balas terhadap usaha Parlimen Iraq yang cuba mengusir tentera Washington dari negara mereka.
Amerika Syarikat telah lama mengidamkan kehancuran integriti wilayah negara Arab tersebut demi menjamin kepentingannya di rantau ini, khususnya yang terkait dengan sumber minyak negara Iraq.
Idea untuk melakarkan wilayah autonomi Sunni bermula sejak tahun 2007 di bawah Joe Biden yang kini bersaing untuk menjadi calon presiden daripada Parti Demokrat.
Tiga belas tahun kemudian, Amerika Syarikat kini menghidupkan semula plot tersebut di bawah pentadbiran Donald Trump ketika berhadapan dengan gesaan untuk segera mengundurkan pasukan tentera A.S dari negara Arab itu.
Pegawai A.S bertindak untuk "mengeluarkan (fail) projek ini daripada laci dan meletakkannya (semula) di atas meja," kata seorang bekas pegawai Amerika Syarikat yang mahir dengan projek itu.
"Penciptaan wilayah Sunni ini sentiasa menjadi pilihan bagi Amerika Syarikat," kata bekas pegawai A.S itu.
Warga Iraq pada hari Jumaat ini telah turun ke jalan raya di Baghdad secara beramai-ramai untuk menggesa pengunduran segera tentera A.S dari negara tersebut.
Demonstrasi itu berlangsung selepas ulama terkemuka tempatan, Muqtada Sadr menyeru warga negara itu untuk turun secara beramai-ramai bagi mengusir tentera A.S dari negara Arab itu.
Parlimen Iraq juga pada 5 Januari lepas telah meluluskan sebuah resolusi yang menuntut penarikan keluar tentera asing dari wilayah-wilayah Iraq.
Sentimen anti-A.S memuncak di Iraq selepas Washington bertindak membunuh pegawai kanan pasukan bersenjata Iran dan Iraq di Baghdad.
Jenayah A.S yang meragut nyawa Jeneral Pasukan Quds Iran, Qassem Soleimani dan Naib Ketuan Unit Mobilisasi Popular Iraq (PMU), Abu Mahdi al-Muhandis turut mendapat respon keras daripada Tehran.
Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) kemudiannya melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan-pangkalan tentera A.S di Iraq sehingga menyebabkan kemusnahan dan kecederaan yang serius ke atas tentera A.S (di sebalik kenyataan awal yang menafikan perkara itu).
A.S setakat ini tidak memberikan sebarang respon ketenteraan terhadap serangan itu, di sebalik ancaman mereka sebelum ini yang mengugut untuk menyerang puluhan sasaran di Iran jika Tehran bertindak balas terhadap pembunuhan Jeneral Soleimani. -Agensi
24 Januari 2020 - 20:22
News ID: 1005106
Amerika Syarikat dilaporkan berusaha untuk mencipta sebuah "negara Sunni" di wilayah Anbar, Iraq dalam usaha untuk melestarikan kehadiran pasukan tenteranya di negara Arab itu ketika berhadapan dengan gesaan daripada negara dan bangsa Iraq untuk mengusir semua tentera asing dari wilayah-wilayah mereka.