Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Satu kawasan kejiranan di Wuhan melaporkan sekurang-kurangnya 10 kes jangkitan coronavirus, selepas kerajaan tempatan membenarkan 40,000 keluarga berhimpun dan berkongsi masakan yang dibawa dari rumah dalam majlis makan Tahun Baharu Lunar bulan lalu, walaupun ketika virus berkenaan masih bermaharajalela.
Ramai penduduk di kawasan Baibuting yang memiliki populasi 130,000 orang menghidap demam selepas acara tradisi pada 18 Januari itu, sehingga memaksa pihak berkuasa melabel 57 premis kediaman sebagai ‘bangunan sakit’, lapor Caixin Global.
“Pada 1 Februari, kami mengesan lebih 10 kes disyaki coronavirus dan terdapat dua jangkitan. Ada banyak kes lagi yang saya tidak tahu,” kata pekerja komuniti Baibuting kepada Caixin Global.
Penduduk di ‘bangunan sakit’ itu yang memiliki 14 unit perumahan berkata, mereka tidak dimaklumkan mengenai sebarang langkah pencegahan walaupun selepas bangunan mereka diletak pelekat berwarna merah sebagai tanda.
“Disenaraikan sebagai ‘bangunan sakit’ tidak menjejaskan kehidupan kami. Kami jarang keluar, dan sekali sekala turun ke bawah untuk membeli barang, tetapi tiada siapa melarang,” kata seorang penduduk.
Menurut akhbar berbahasa Mandarin, Economic Observer, terdapat sekurang-kurangnya 10 kes dikenal pasti setakat 4 Februari.
Kes pertama coronavirus dikesan di Wuhan apabila seorang pekerja Pasar Borong Makanan Laut Huanan yang menjual pelbagai jenis hidupan laut, haiwan dan burung jatuh sakit akibat sejenis pneumonia.
Pada 31 Disember tahun lalu, China melaporkan senarai kes buat pertama kali kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 23 hari selepas pesakit pertama mendapatkan rawatan 8 Disember lalu. - Agensi
6 Februari 2020 - 17:54
News ID: 1008281
Satu kawasan kejiranan di Wuhan melaporkan sekurang-kurangnya 10 kes jangkitan coronavirus, selepas kerajaan tempatan membenarkan 40,000 keluarga berhimpun dan berkongsi masakan yang dibawa dari rumah dalam majlis makan Tahun Baharu Lunar bulan lalu, walaupun ketika virus berkenaan masih bermaharajalela.