Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Pasukan Pertahanan Udara Syria dilaporkan berjaya memintas beberapa peluru berpandu Israel di wilayah Quneitra dan wilayah pusat Homs.
"Pada jam 00:30 (hari Khamis), pasukan pertahanan udara kami berjaya mengesan pesawat pejuang Israel yang datang dari kawasan utara Palestin... (selepas itu) beberapa peluru berpandu telah dilancarkan (mereka) dari ruang udara Lubnan ke wilayah sentral (Syria)," kata agensi berita rasmi Syria, SANA.
Sumber itu menambah bahawa peluru berpandu tersebut berjaya dipintas oleh Pasukan Pertahanan Udara Syria sekaligus menggagalkan operasi udara rejim Israel yang mencabul undang-undang antarabangsa itu.
Dalam laporan lain, agensi berita Xinhua melaporkan bahawa sistem pertahanan udara Syria berjaya memintas peluru berpandu Israel di wilayah Homs pada awal hari Khamis.
Menurut laporan itu, peluru berpandu tersebut telah dilancarkan dari pesawat pejuang Israel dari Tebing Golan yang diduduki Israel dan dari ruang udara Lubnan.
Rejim Tel Aviv biasanya merahsiakan operasi mereka ke atas wilayah Syria yang banyak dilihat pemerhati sebagai respon Israel akibat kejengkelan mereka terhadap kejayaan pemerintah Syria dalam usaha mereka membasmi keganasan di negara Arab itu.
Kerajaan Syria dan sekutunya baru-baru ini berjaya membebaskan semula beberapa kawasan penting di Idlib yang dikuasai oleh militan tajaan Turki. Kejayaan besar itu turut menimbulkan kejengkelan di Ankara yang kemudiannya mengakibatkan kedua-dua pasukan negara berjiran itu bertembung di Idlib.
Turki menegaskan bahawa mereka memiliki hak untuk mempertahankan zon nyah-tentera di Idlib seperti yang disepakati sebelumya. Akan tetapi, Damsyik mengatakan bahawa Ankara telah mencabul perjanjian itu dengan memperkasakan pengganas di dalam zon nyah-tentera tersebut sedangkan perjanjian itu memerlukan Turki untuk melucutkan senjata dari pasukan militan. -Agensi