16 Mac 2020 - 19:05
COVID-19: Lebih Negara Umum Perintah Berkurung, Larangan Perjalanan

Itali menjadi negara pertama di luar China mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara itu akibat ancaman COVID-19 yang setakat ini menjangkiti lebih 24,000 orang dan mengorbankan 1,809 nyawa di sana.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Itali menjadi negara pertama di luar China mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara itu akibat ancaman COVID-19 yang setakat ini menjangkiti lebih 24,000 orang dan mengorbankan 1,809 nyawa di sana.

Eropah kini menjadi pusat baharu penularan wabak coronavirus yang sudah menjangkiti hampir 170,000 mangsa di seluruh dunia dengan 6,509 kematian.

Sepanyol menyertai Itali mengumumkan perintah berkurung, dengan 47 juta penduduknya hanya dibenarkan meninggalkan rumah untuk bekerja, membeli makanan dan mendapatkan rawatan atau membeli ubat.

Perancis mengarahkan sekolah, kafe dan premis perniagaan yang tidak berkaitan keperluan asas orang ramai ditutup manakala orang ramai digalakkan berkerja dari rumah.

Perjalanan jarak jauh menggunakan kereta api dan pesawat termasuk ke beberapa destinasi tempatan turut dihentikan.

Jerman menguatkuasakan kawalan sempadan dengan kerjasama Austria, Switzerland, Perancis, Luxembourg dan Denmark, manakala semua sekolah ditutup.

Austria pula mengumumkan larangan pergerakan orang ramai di tempat umum dan mengharamkan perhimpunan melebihi lima orang selain menyekat kemasukan warga asing terutama dari negara dilanda wabak COVID-19.

Tyrol di barat Austria, yang juga resort ski popular, diletakkan di bawah perintah berkurung selepas 245 kes disahkan.

Colombia pula menutup sempadannya dengan Venezuela dan melarang kemasukan pelancong dari Eropah dan Asia bagi mengekang penularan COVID-19.

Ketibaan ke negara Amerika Selatan itu, yang bukan penduduk atau warga negara dan tinggal di Eropah serta Asia dalam tempoh dua minggu lalu, tidak dibenarkan memasuki negara itu bermula hari ini.

Di Amerika Syarikat (AS), semua bar, restoran, panggung dan panggung wayang di New York serta Los Angeles ditutup sebagai langkah mengekang penularan COVID-19.

Di New York, semua premis makanan hanya dibenar menjual makanan yang dibungkus untuk dibawa pulang atau untuk penghantaran ke rumah.

Filipina hari ini mengisytiharkan perintah kuarantin di rumah selain menghentikan semua urusan kerja dan pengangkutan di pulau utamanya, Luzon.

Brunei semalam menegaskan rakyatnya dan warga asing yang kini berada di sana dilarang meninggalkan negara itu, dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Arab Saudi menutup semua tempat awam manakala Qatar dan Oman menutup sempadan bagi menghalang kemasukan warga negara berjiran di Asia Barat.

Semalam, Lubnan mengisytiharkan perintah berkurung selama dua minggu dan menggesa orang ramai jangan keluar rumah jika tidak perlu selain bersedia menutup pelabuhan utamanya.

Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut akan ditutup mulai Rabu ini dan semua pintu masuk maritim, lapangan terbang dan laluan darat turut ditutup sepanjang dua minggu itu.

Mesir turut menghentikan semua penerbangan mulai Khamis ini bagi memberi peluang kepada semua warga asing yang berada di negara itu untuk pulang ke negara masing-masing.

Jordan mengisytiharkan perintah berkurung kelmarin dan memperketatkan kawalan sempadan dengan melarang semua penerbangan keluar masuk bermula esok.

Pihak berkuasa Jordan juga mengarahkan semua sekolah ditutup dan menghentikan sembahyang berjemaah.

Sempadan negara itu hanya dibuka bagi penghantaran barangan keperluan termasuk makanan, perubatan dan keperluan asas lain. - AGENSI