18 April 2020 - 15:19
Ribuan Langgar Perintah Berkurung Hadir Pengebumian Imam

Puluhan ribu warga Bangladesh melanggar perintah berkurung berikutan ancaman COVID-19 bagi menghadiri upacara pengebumian imam terkenal ketika kerajaan bergelut membendung peningkatan mendadak kes coronavirus itu.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Puluhan ribu warga Bangladesh melanggar perintah berkurung berikutan ancaman COVID-19 bagi menghadiri upacara pengebumian imam terkenal ketika kerajaan bergelut membendung peningkatan mendadak kes coronavirus itu.

Pihak polis mencapai persetujuan dengan keluarga arwah Jubayer Ahmad Ansari, bagi membenarkan hanya 50 orang menghadiri upacara pengebumian di bandar Sarail hari ini, bagi mengelak risiko penularan wabak.

Bagaimanapun, Ketua Polis Darali, Shahadat Hossain, berkata pegawainya tidak dapat berbuat apa-apa kerana begitu ramai orang mahu memberi penghormatan terakhir kepada imam popular berusia 55 tahun itu, yang meninggal dunia semalam

Shah Ali Farhad, yang juga pembantu kepada Perdana Menteri, Sheikh Hasina, berkata lebih 100,000 orang hadir pada upacara pengebumian itu.

Bangladesh mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh negara dengan 168 juta penduduk itu pada 26 Mac lalu.

Jabatan Kesihatan berkata jangkitan COVID-19 meningkat lebih 300 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 2,200 kes manakala sembilan lagi kematian dicatatkan, menjadikan 84 orang maut setakat ini.

Namun, pihak berkuasa mengakui jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi berikutan kekurangan kit ujian dan kemudahan bagi memeriksa lebih ramai orang.

Berdasarkan peraturan perintah berkurung, sesi sembahyang berjemaah tidak boleh melebihi lima orang di lebih 300,000 masjid di seluruh Bagladesh.

Walaupun Perdana Menteri menasihatkan warga Bangladesh supaya sembahyang di rumah termasuk sepanjang bulan Ramadan ini, ada kumpulan ulama yang terus menggesa keluar beramai-ramai menunaikan sembahyang secara berjemaah.

Bulan lalu, sekurang-kurangnya 25,000 umat Islam menghadiri upacara sembahyang berjemaah di sebuah padang di bandar Raipur, bagi menghindari ancaman coronavirus di negara itu. - AFP