Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Sekurang-kurangnya dua anggota tentera Amerika Syarikat dilaporkan hilang setelah sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali menyerang kenderaan mereka di wilayah timur laut Syria, Dauyr al-Zawr.
Insiden itu berlaku ketika sentimen negatif terhadap kehadiran tentera Amerika Syarikat di kawasan itu sedang meningkat.
Agensi berita rasmi Syria (SANA) yang memetik sumber tempatan melaporkan bahawa kumpulan bersenjata itu menyerang kenderaan berperisai tentera A.S pada hari Isnin ketika dalam perjalanan dari lapangan minyak al-Omar, yang terletak di kawasan timur laut wilayah itu ke lapangan minyak Tanak.
Sumber-sumber itu menambah dengan mengatakan bahawa kenderaan itu kemudiannya terbakar dan dibiarkan terbengkalai di tepi jalan. Sementara itu, nasib kedua-dua anggota tentera A.S yang berada di dalam kenderaan itu juga masih belum diketahui.
A.S mula menempatkan tenteranya di lapangan minyak yang terletak di kawasan utara Syria sejak Oktober 2019.
Pentagon mendakwa bahawa tindakan itu dibuat bagi mempertahankan kawasan itu daripada serangan pengganas Takfiri di sebalik kenyataan Presiden Donald Trump sebelum itu yang mengatakan bahawa perkara itu dibuat bagi melindungi kepentingan ekonomi Washington ke atas lapangan minyak itu.
Syria tidak pernah memberikan kebenaran untuk A.S menempatkan tentera mereka di bumi Arab itu dan secara lantang mengatakan bahawa A.S sedang giat mencuri sumber minyak mereka. -Press TV
27 April 2020 - 16:36
News ID: 1030709
Sekurang-kurangnya dua anggota tentera Amerika Syarikat dilaporkan hilang setelah sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali menyerang kenderaan mereka di wilayah timur laut Syria, Dauyr al-Zawr.