22 Jun 2020 - 16:18
Pandemik COVID-19 Terus Meningkat - WHO

Pandemik COVID-19 terus meningkat dan kesannya akan dapat dirasakan untuk beberapa dekad lagi, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Pandemik COVID-19 terus meningkat dan kesannya akan dapat dirasakan untuk beberapa dekad lagi, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Pengarahnya, Tedros Abraham Ghebreyesus, dalam satu forum kesihatan anjuran pihak berkuasa Dubai, berkata ancaman terbesar kepada dunia bukan virus itu sendiri, tetapi perpecahan dan kekurangan kepimpinan pada peringkat global.

"Kita tidak boleh menewaskan pandemik ini dalam keadaan dunia yang berpecah belah.

"Pandemik yang dipolitikkan ini memburukkan keadaan. Tiada siapa yang akan selamat sehingga keadaan benar-benar berubah," katanya.

Minggu lalu, WHO memberi amaran berhubung fasa baharu pandemik COVID-19, apabila orang ramai mula letih berhadapan perintah berkurung.

COVID-19 yang kini meragut lebih 470,000 nyawa dan menjangkiti lebih sembilan juta mangsa di seluruh dunia, semakin meningkat di Amerika serta beberapa bahagian lain di Asia, namun negara Eropah lain sudah mula menamatkan perintah berkurung.

Perintah berkurung yang dikenakan untuk membendung penularan COVID-19 turut memberi kesan negatif kepada ekonomi, namun WHO memberi amaran bahawa pandemik itu masih berupaya menjadi ancaman lebih besar.

"Pandemik ini masih meningkat. Kita tahu bahawa pandemik ini lebih buruk berbanding krisis kesihatan, ia adalah krisis ekonomi, krisis sosial, dan di kebanyakan negara, bertukar menjadi krisis politik.

"Kesannya akan dirasai buat beberapa dekad lagi," katanya pada persidangan secara maya itu. - AFP