24 Oktober 2023 - 18:14
Majlis Raja-Raja kecam keganasan, kezaliman rejim zionis terhadap rakyat Palestin

KUALA LUMPUR: Majlis Raja-Raja sepakat mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan, penindasan dan kezaliman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin, apatah lagi ia membabitkan kematian terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata konflik Palestin-Israel yang berlarutan sejak 7 Oktober lalu itu dibincangkan pada sesi Pra-Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-262 di Istana Negara, hari ini.

Katanya, Majlis Raja-Raja turut menzahirkan rasa dukacita dan gusar kerana masyarakat antarabangsa dan kuasa-kuasa besar dunia belum mencapai kata sepakat dalam mencari jalan penyelesaian bagi menghentikan konflik tersebut.

"Sehubungan dengan itu, Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja menggesa kerajaan Malaysia terus bersuara membela rakyat Palestin dan membantah penindasan serta kezaliman berterusan rejim Zionis Israel di pentas antarabangsa atas tanggungjawab kemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.