342/
9 November 2023 - 17:58
News ID: 1410157
GAZA: Pesawat Israel mengebom persekitaran Hospital Al-Shifa dan Hospital Kanak-kanak Al-Nasr di Semenanjung Gaza hari ini.
Hospital Al-Shifa yang menempatkan ribuan pesakit dan penduduk yang mencari perlindungan di situ, menjadi sasaran peluru berpandu yang dilepaskan berselang-seli oleh pesawat Israel, lapor Agensi Anadolu memetik laporan Agensi Berita Palestin, WAFA. Penggunaan serentak suar pencahayaan ketika serangan menyebabkan kawasan persekitaran hospital mengalami kemusnahan, katanya. Serangan udara berhampiran Hospital Kanak-kanak Al-Nasr di barat bandar itu, mengorbankan tiga rakyat Palestin dan berpuluh-puluh lagi cedera.Terdahulu, puluhan ribu rakyat Palestin melarikan diri dari pertempuran dan pengeboman di Gaza, ketika Israel memaklumkan rejim itu akan mengetatkan kurungan serta menolak gencatan senjata dan membebaskan tebusan. Cadangan melakukan gencatan senjata bagi melindungi orang awam sudah disuarakan lebih sebulan lalu selepas pejuang Hamas menyerang Israel.Israel kemudiannya melakukan serangan balas memusnahkan pejuang Hamas dan bertindak menyerang dengan pengeboman tanpa henti dan pencerobohan darat ke atas Semenanjung Gaza yang menurut Kementerian Kesihatan Palestin membunuh lebih 10,500 orang yang kebanyakannya kanak-kanak. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak untuk gencatan senjata di Gaza, bagi membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan. Tentera Israel berkata seramai 50,000 orang meninggalkan utara Gaza ke selatan semenanjung semalam ketika pertempuran antara pejuang Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam dengan rejim zionis Israel.