31 Mei 2015 - 10:50
Pengganas IS terkepung di Ramadi + Foto

Ketua polis daerah al-Anbar memaklumkan, pasukan tentera dan relawan rakyat berjaya mengepung kota Ramadi dan kumpulan pengganas terpaksa berundur.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Sumber keselamatan Iraq semalam mengumumkan kemaraan tentera kerajaan yang dibantu relawan rakyat di wilayah al-Anbar.

Menurut laporan terkini dari kawasan terbabit, tentera kerajaan dan relawan rakyat sudah mengepung daerah yang telah dikuasai pengganas IS (Negara Islam) sejak dua minggu lalu.

Salah seorang panglima tentera Iraq berkata, "Pasukan keselamatan dan relawan rakyat hari ini berjaya membebaskan lima kilometer Barat Ramadi setelah terjadi pertempuran sengit."

Pasukan sukarela dari penduduk Syiah juga dilaporkan berperanan besar dalam membantu tentera Iraq.

Ketua polis wilayah al-Anbar, Hadi Razij berkata, "Pasukan keselamatan dan relawan rakyat telah membebaskan pejabat polis trafik dan Universiti al-Anbar di Barat dan Selatan kota Ramadi selain mengepung dengan ketat kota ini. IS pula terpaksa berundur dari posisi mereka."

Antara reaksi pengganas IS ialah mengebom rumah penduduk awam dan bangunan kerajaan bagi mengekang kemaraan tentera kerajaan.

Sementara itu, tentera Iraq juga sedang menunggu isyarat lampu hijau dari Perdana Menteri Haidar al-Ibadi untuk menggempur kedudukan IS di kawasan terbabit secara besar-besaran.