17 Ogos 2015 - 17:26
Ulama Mesir ditahan setelah berkunjung ke Iran

Seorang ulama Mesir ditahan di lapangan terbang Kaherah setelah berkunjung ke Iran.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Media Mesir melaporkan penahanan seorang ulama Sunni yang baru pulang dari kunjungan ke Iran.

Ulama Sunni yang bernama Shaykh Muhammad Abdullah Nasr ini ditahan selama 12 jam sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Kaherah. Pihak berkuasa turut merampas komputer riba dan sejumlah buku-buku mengenai mazhab-mazhab Islam yang dibawa pulang dari Iran.

Shaykh Muhammad menjelaskan kehadirannya di Iran semata-mata untuk memberikan ucapan di Jamiatul Mustafa dan hawzah ilmiyah mengenai perpaduan, mazhab dan pendekatan antara umat. Sebelum itu beliau sudah pergi ke Beirut dan menyertai persidangan antarabangsa Moqawama dan isu Palestin.

Meskipun begitu, pihak berkuasa sempat menafikan laporan penangkapan tersebut dan menyatakan Muhammad Nasr hanya menjalani sesi soal siasat pihak keselamatan lapangan terbang mengenai tujuan kunjungan beliau ke Iran. 

Dalam salah satu gambar yang beliau muatkan dalam laman sosial Facebook, beliau berkata, "Gambar saya ketika menyampaikan ucapan di kota Qom, Iran berkenaan mazhab-mazhab Islam dan kesannya dalam umat, serta seruan perpaduan."