TUNIS, 8 Mac - Pasukan keselamatan Tunisia, hari ini meneruskan operasi memburu saki baki anggota militan dekat sempadan Libya, selepas satu serangan berdarah yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai satu serangan ‘mengejut’ oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) di negara ini.
Perdana Menteri, Habib Essid berkata, kira-kira 50 anggota militan dipercayai terlibat dalam serangan terancang pada waktu subuh, semalam ke atas berek polis dan pos Pengawal Kebangsaan di sempadan bandar Ben Guerdane.
Katanya, sebanyak 36 penyerang berjaya dibunuh, manakala tujuh yang lain ditahan dalam pertempuran sengit, yang menyaksikan tujuh orang awam dan 12 anggota keselamatan terbunuh.
Essid memberitahu sidang media bahawa anggota militan “membunuh seorang anggota keselamatan di dalam rumahnya”.
Beliau berkata, tiga orang awam dan 14 anggota keselamatan turut cedera dalam serangan itu.
“Pasukan keselamatan bertindak pantas dan menggempur mereka habis-habisan. Kami menang dalam pertempuran itu dan bersedia untuk menghadapi sebarang serangan lain,” kata Essid.
“Kini mereka (militan IS) sedar Tunisia bukan senang untuk ditawan dan bukan mudah untuk menawan Ben Guerdane,” katanya.
Isnin lalu, Essid berkata, serangan kumpulan militan itu bertujuan menubuhkan “kerajaan Khalifah” di bandar itu.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Yasser Mesbah berkata, operasi itu bertujuan memburu anggota militan yang berjaya melarikan diri ke kawasan sempadan.
Katanya, perintah berkurung juga dilaksanakan pada sebelah malam di bandar itu selepas serangan tersebut dan keadaan kini kembali stabil.
Essid berkata, Tunisia mengisytiharkan “perang habis-habisan terhadap keganasan”.
Ketika ditanya bagaimana kumpulan militan mampu melakuksan serangan seperti itu di bandar berkenaan, Perdana Menteri itu memberi jaminan ‘satu penyiasatan menyeluruh’ akan dijalankan berhubung serangan pada Isnin lalu.
“Kita perlu ambil iktibar daripada serangan itu. Satu penyiasatan menyeluruh akan dilakukan bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku, dan kami akan membuat semua rumusan,” kata Essid.
“Mungkin berlaku kelemahan di mana-mana, mungkin di peringkat risikan, atau elemen-elemen lain,” katanya.
Presiden, Beji Caid Essebsi semalam berkata, serangan mengejut itu mungkin bertujuan untuk menguasai kawasan di sempadan, dan beliau memberi jaminan akan memusnahkan musuh itu.
Penduduk memberitahu penyerang-penyerang terbabit adalah penduduk asli di wilayah itu.
Mereka menahan orang ramai, memeriksa kad pengenalan diri mereka untuk mengesan anggota keselamatan, dan mengumumkan bahawa mereka telah menawan Ben Guerdane.
Jurucakap Jabatan Negara AS, John Kirby mengutuk serangan itu yang disfatkan sebagai “pengecut” dan menawarkan bantuan AS kepada Tunis, manakala Ketua Dasar Luar EU, Federica Mogherini berkata, serangan itu “menunjukkan satu lagi ancaman yang dihadapi oleh Tunisia”.
Pihak berkuasa hari ini berkata, situasi di Ben Guerdane kembali ‘stabil’, dan sejumlah senjata dan peluru telah ditemui.
Ia merupakan serangan berdarah kedua di kawasan sempadan, tidak sampai seminggu ketika Tunisia bertungkus-lumus menghalang rakyatnya yang menyertai kumpulan militan IS di Libya daripada pulang ke negara ini untuk melancarkan serangan di Tunisia.
Dua serangan militan IS ke atas pelancong asing pada tahun lepas yang menjejaskan industri pelancongan Tunisia dipercayai dirancang di Libya.
Kumpulan militan IS mengambil kesempatan ke atas kekosongan kuasa di Libya sejak kumpulan bersenjata yang disokong NATO menjatuhkan pemimpin Muammar Gaddafi pada 2011 untuk menubuhkan pangkalan mereka di beberapa kawasan, termasuk dekat Sabratha, terletak antara Tripoli dan sempadan Tunisia.
Satu serangan udara AS ke atas sebuah kem latihan kumpulan militan IS di luar Sabratha pada bulan lalu mengakibatkan berpuluh-puluh anggota militan Tunisia terbunuh, termasuk seorang yang disyaki perancang ke atas dua serangan di Tunisia, Noureddine Chouchane.
Tunisia telah membina pagar sepanjang 200 kilometer, yang melebihi separuh daripada kawasan sempadannya dengan Libya bagi menghalang pencerobohan anggota militan. - AFP