11 April 2016 - 18:54
UTeM batal program Dr Zakir, akur arahan KPN

NAIB Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) membuat keputusan menarik diri daripada menjadi tuan rumah bagi program syarahan umum, 'Similarities Between Hinduism and Islam' yang akan disampaikan oleh penceramah luar negara, Dr Zakir Abdul Karim Naik, Ahad ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib, berkata tindakan itu dibuat susulan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter rasminya, tidak membenarkan program terbabit diteruskan demi ketenteraman awam dan sensitiviti agama di negara ini, pagi ini.



"Sebagai pusat kecemerlangan ilmu, UTeM berpandangan ia (syarahan) program ilmu yang baik.

Pembabitan UTeM hanya sebagai tuan rumah sahaja. "Namun, selepas mendapat nasihat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), UTeM tidak akan menjadi tuan rumah bagi program berkenaan," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.