TEMERLOH: Seorang penganggur dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan memiliki barang yang mempunyai kaitan dengan aktiviti pengganas.
Tertuduh, Muhammad Hanif Ismail, 31, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain yang bertindak sebagai Majistret. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Muhammad Hanif, 31, dituduh melakukan perbuatan itu di Kuala Lumpur pada 24 Mac lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 130 JB (1) (a) Kanun Keseksaan kerana memberi sokongan kepada kumpulan militan IS atau kepada berlakunya perbuatan pengganas dan boleh dikenakan penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Ahmad Zamzani menetapkan kes disebut semula pada 9 Jun ini dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.