Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Pemimpin gerakan Hamas memberi amaran bahawa kumpulannya tidak akan bertolak ansur dengan serangan terbaru ke Semenanjung Gaza yang sudah memasuki hari ketiga dikepung Israel.
"Kami tidak akan membiarkan serangan ini walau apa jua situasi," kata Ismail Haniyeh, kelmarin.
Haniyeh yang bertindak sebagai pemimpin Hamas di dalam wilayah Gaza menyatakan bahawa gerakannya tidak akan mencari perang baru dengan Israel setelah pencerobohan rejim Israel dua tahun lalu mengakibatkan kerugian besar-besaran.
Israel terus mensasarkan apa yang didakwa sebagai kemudahan yang dikendalikan Hamas di Gaza pada pagi Jumaat dengan saksi yang mendakwa melihat dua set serangan udara yang menggempur Beit Lahia di Utara Gaza dan Khuza'a, dekat Khan Yunis, dalam wilayah yang dikepung.
Tidak ada laporan serta merta berkenaan kerosakan yang dialami Gaza.
Pada hari Khamis lalu, seorang wanita Palestin maut manakala seorang lagi cedera setelah kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah perumahan awam di Khan Yunis.
Hamas sebelum ini memberikan amaran bahawa Israel harus menghentikan provokasi atau menghadapi tindak balas yang boleh membawa maut. Sayap Hamas, Ezzedine Qassam berkata rejim Zionis telah menceroboh kawasan Palestin dan pihaknya sedia bertindak balas.
Pada awal Julai 2014, Israel telah melancarkan serangan terhadap Gaza selama 50 hari sehingga menyebabkan 2,200 rakyat Palestin termasuk 577 kanak-kanak terbunuh, manakala 11,100 yang lain mengalami kecederaan.
Kekerasan Israel kali ini menimbulkan kebimbangan terhadap nasib perjanjian damai Hamas- Tel Aviv yang menamatkan kempen ketenteraan Israel tahun 2014.