24 Mei 2016 - 23:01
Russia sedia selaras serangan di Raqqa

Russia bersedia bekerjasama dengan pakatan Kurdis-Arab dan tentera gabungan diketuai Amerika Syarikat (AS)

MOSCOW: Russia bersedia bekerjasama dengan pakatan Kurdis-Arab dan tentera gabungan diketuai Amerika Syarikat (AS) dalam serangan ke atas kubu militan IS di Raqqa, Syria, kata Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov. "Saya mengatakan kami bersedia dalam kerjasama seperti itu," kata Lavrov kepada media dalam satu sidang kemuncak di Uzbekistan, dipetik agensi berita TASS.

Beliau berkata demikian sebelum pasukan Kurdis-Arab mengumumkan pelancaran serangan, mengatakan: "Saya tidak boleh mengatakan betapa realistik laporan itu dan tindakan seperti itu sudah bermula. "Sudah pasti Raqqa adalah satu daripada matlamat pakatan anti-keganasan, sama seperti Mosul di Iraq. Kami yakin tidak mustahil untuk secara berkesan dan segera merampas kawasan padat penduduk ini jika tentera kami (Russia dan AS) mula menyelaras tindakan bersama lebih awal."

Lavrov berkata, Russia dan AS bersetuju untuk menyelaras tindakan ketenteraan di Syria sebagai tambahan kepada pertukaran maklumat.

Katanya, menteri pertahanan negara masing-masing sedang meneliti bagaimana menyelaras tindakan secara khusus. -AFP