IPOH 23 Mei – Polis mempunyai maklumat mengenai lokasi bekas pemimpin Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), Zainuri Kamaruddin yang dilaporkan sebagai antara pemimpin militan Negara Islam (IS) di Syria dan bakal mengetuai ancaman kumpulan pengganas itu menentang Malaysia dan Indonesia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak berkuasa tahu di mana lelaki itu berada dan sedang memantau rapi pergerakannya.
“Kita tahu di mana dia berada kerana kita terus melakukan pemantauan terhadap sebarang langkah yang dia lakukan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat membincangkan program-program pembangunan daerah Kuala Kangsar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai rakaman video Zainuri yang mendakwa akan melancarkan serangan di Malaysia.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai kegiatan kumpulan pengganas, Ahmad Zahid berkata, pihak keselamatan negara akan terus melakukan pemantauan pergerakan bukan sahaja dalam negara, malah di luar negara termasuk menerusi laman sosial yang dijadikan sebagai medium untuk menarik para pengikut.
Tegas beliau, tiga peruntukan sedia ada menerusi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 (SMATA) akan digunakan bagi memastikan mereka yang terlibat tidak terlepas daripada tindakan perundangan.
Katanya, pihak berkuasa mempunyai rangkaian kerjasama dengan beberapa agensi perisikan antarabangsa, malah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman memantau memantau semua kenyataan berbaur keganasan di laman sosial.
“Kita ada kod-kod tertentu untuk memantau sebarang perbualan, dokumen atau maklumat yang dimuat naik atau dimuat turun. Oleh itu, kita harap jangan terpengaruh dengan sebarang berita terutama mengenai rakyat Malaysia yang berjuang atas nama Islam.
“Kita tahu ada antara mereka yang terpengaruh atau melakukan pembiayaan. Ini tidak termasuk dalam amal jariah, sebaliknya hanya merosakkan imej dan nama baik Islam,” katanya.