BAGHDAD 4 Jun – Komander utama kumpulan militan Takfiri, Abu Bashir al-Sudani dilaporkan terbunuh dalam serangan udara tentera Iraq di barat laut Fallujah, semalam.
Komander Memerintah Operasi Baghdad, Leftenan Jeneral Abdul Amir al-Shammari berkata, Abu Bashir terbunuh dalam serangan udara ke atas kawasan persembunyian kumpulan militan itu kira-kira lima kilometer ke barat laut Fallujah di barat wilayah Anbar.
Katanya, tentera Iraq berada kira-kira 600 meter dari bandar Fallujah ketika serangan udara itu dilancarkan.
Menurut laporan laman web presstv.ir, tentera Iraq sedang melancarkan serangan untuk menawan pekan Saqlawiyah yang ditawan kumpulan militan itu pada September 2014.
Tentera Iraq telah menawan banyak kawasan di bandar Fallujah yang dikuasai kumpulan militan dalam usaha mengusir kumpulan pengganas itu dari kubu kuat mereka di wilayah Anbar.
Menurut laporan, pasukan keselamatan Iraq yang dibantu tentera udara berjaya memasuki bandar itu setelah menguasai al-Shuhada dan menawan bahagian selatan Naimiya dalam pertempuran sengit dengan kumpulan militan itu.
Keganasan tercetus di utara dan barat Iraq sejak kumpulan militan itu melancarkan serangan balas pada Jun 2014 dan menguasai beberapa wilayah di Iraq. Kumpulan militan itu turut melakukan pelbagai jenayah kejam terhadap semua etnik di negara ini termasuk ke atas pengikut Syiah, Sunni, etnik Kurdis dan penganut Kristian.