Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.irv ) - Dari bumi bermaruah dan bermartabat, tanah penuh puspawarna perjuangan dan pengorbanan ini menggemakan suara lantang dari seorang presiden kerdil yang digeruni dunia mustakbirin. Di sinilah presiden Iran Dr Ahmadinejad menyampaikan pesanan kemenangan menentang Israel.
Presiden Iran berucap di selatan kota Bint Jubail yang pernah menyaksikan pertempuran sengit antara Hizbullah dan Israel selama peperangan 33 hari pada Jun dan Julai 2006 dan parti politik bersenjata tajaan Iran ini mencapai kemenangan yang gilang gemilang.
"Anda adalah pahlawan yang menjaga maruah Lubnan", kata beliau kepada penduduknya. Tambah Ahmadinejad lagi, "Anda telah buktikan bahawa tiada kuasa angkuh yang dapat menewaskan anda. Pejuang dari bangsa Lubnan lahir dari keimanan kepada Allah, mereka mampu berdiri menghadapi mana-mana serangan Israel seperti pesawat tempur, kereta kebal dan kapal".
Ucapan Presiden Iran ini bertempat di Beint Jubail yang terletak kira-kira empat kilometer dari utara sempadan yang dijajah. Ia merupakan sebuah tempat yang penuh kenangan dan simbol perjuangan dalam sejarah kebangkitan warga Lubnan menentang keangkuhan regim Israel. Di sini juga Setiausaha Agung Hizbullah pernah menyampaikan ucapan 2 hari setelah berakhirnya penjajahan Zionis di selatan Lubnan pada tahun 2000.
"Zionis berhasrat memusnahkan perkampungan ini, namun betapa utuhnya ia berdiri. Seluruh dunia perlu tahu, lambat laun Zionis akan pupus dan Beint Jubail tetap masih hidup", tambah beliau.
"Perjuangan warga Lubnan berasal dari keimanan dan kesabaran, hari ini kegigihan perjuangan insan telah bertukar menjadi teladan yang perlu diikuti", katanya sambil menekankan bahawa perjuangan adalah simbol kemenangan warga Lubnan dan rantau itu.
"Tidak diragukan lagi, musuh anda gentar dengan perpaduan. Perpaduan adalah simbol ketahanan, kesetiaan dan kemenangan. Kami bersyukur kepada Allah kerana warga Lubnan telah menunjukkan semangat perpaduan dan kesabaran yang membawa mereka ke arah kemenangan".
"Biarkan dunia tahu bahawa Zionis telah merancang serangan ke atas kegemilangan Bint Jubail, mereka terlalu percaya bahawa ia akan mengecewakan warga Lubnan. Saya mengistiharkan bahawa Beint Jubail masih hidup dan akan berkekalan, biarlah dunia mengetahui bahawa Zionis akan bersara dari kewujudannya, penjajah Zionis tidak mempunyai pilihan lagi selain pulang ke ibu pertiwi masing-masing".
Presiden Iran turut melawat Qana yang pernah menyaksikan pembunuhan ramai warga Palestin hasil dari kekejaman Zionis. Presiden Iran ini menyatakan beliau sentiasa menyokong bangsa di rantau tersebut sambil menegaskan bahawa syuhada Qana masih hidup di mana musuh-musuhnya diambang kematian. "Saya mengucapkan salam sejahtera ke atas Qana, tanah yang penuh ketabahan dan perjuangan", katanya lagi. "Hari ini Qana masih hidup dan ia adalah bukti kebangkitan menentang jenayah mentaliti Israel", tambahnya.