27 Mei 2011 - 19:30

Pihak Hawzah Imam Ridha mengesyaki ada perancangan jahat dibalik serbuan JAIS dan serangan terhadap Syiah di media Malaysia.

HENTIKAN TINDAKAN PROVOKASI TERHADAP SYIAH GOMBAK: Serangan terhadap anggota-anggota Syiah, khususnya di daerah Gombak, semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Ar-Ridha, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengesyaki serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan serangan bertalu-talu daripada beberapa pihak media tempatan merupakan hasil dari satu perancangan yang berniat jahat. Kelmarin, sekumpulan kira-kira 40 anggota Jais dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia menyerbu majlis makan dan kesenian di Dataran Rakyat, Taman Sri Gombak, dekat Kuala Lumpur bersempena memperingati hari ulangtahun Fatimah Az Zahra, puteri Rasulullah saw. Ar Ridha, mengesyaki ini merupakan satu perancangan yang bertujuan untuk melumpuhkan program dan aktiviti pencinta Ahlul Bait Rasulullah saw kerana serbuan ini dibuat susulan dari dua artikel yang terbit di akhbar Berita Harian yang memburuk-burukan ajaran Syiah. Akhbar tabloid Kosmo hari kelmarin (25 Mei 2011) menerbitkan sebuah berita berunsur fitnah pada muka hadapan bertajuk "Ajaran sesat nikah kontrak" dan diperpanjangkan beritanya pada muka surat enam. Pada muka enam akhbar itu membawa berita bertajuk "Pemimpin ajaran sesat ditahan", mengenai penangkapan empat anggota Syiah pada majlis makan dan kesenian itu serta wawancara bersama Ketua Penolong Pengarah Jais, Mohd Rais Rasid. Serangan terhadap Syiah juga dilakukan oleh akhbar arus perdana, Utusan Malaysia kelmarin (25 Mei 2011). Pada muka surat 29 akhbar itu membawa tajuk berita "Ajaran Syiah ancaman serius". Ar Ridha memandang serius terhadap serbuan dan serangan ini yang disifatkan sebagai satu bentuk provokasi dari pihak Jais dan media tempatan terhadap pengamal ajaran Ahlul Bait, bukan sahaja di sekitar Gombak tetapi di seluruh negara. Dakwaan bahawa anggota-anggota Syiah berselindung di sebalik majlis makan dan kesenian itu untuk menyebar fahaman Syiah adalah tidak benar kerana di antara para tetamu yang hadir termasuk mereka yang bukan Melayu dan bukan beragama Islam. Ar Ridha terperanjat dengan kenyataan Jais yang menyifatkan ajaran Syiah sebagai merbahaya sedangkan tindakan Jais lebih dilihat sebagai usaha halus untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Jais sepatutnya menumpukan usaha dan tenaga mereka untuk menangani masalah-masalah sosial yang lebih serius daripada mengganggu ketenteraman dan hak kebebasan bersuara dan beragama golongan minoriti Syiah di negara ini. Tindakan Jais ini juga dilihat sebagai satu usaha untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada kadar jenayah sosial yang semakin tenat dan terus meningkat yang gagal diatasi. Jais harus menumpukan kegiatan membenteras gejala sosial, seperti bersekududukan tanpa nikah, perlakuan zina hingga melahirkan anak luar nikah berjumlah lebih 250,000 orang dan sentiasa meningkat. Jais juga harus menangani gejala minum arak yang berleluasa hingga Malaysia mencatat rekod dunia sebagai sebuah negara dalam kumpulan 10 teratas paling ramai peminum arak walaupun jumlah penduduknya tersangat kecil. Justeru itu, Ar-Ridha menggesa Jais supaya menghentikan serbuan terhadap anggota-anggota Syiah pada masa akan datang dan jika diteruskan juga, ini merupakan satu langkah yang sia-sia akhirnya. Ar Ridha Pengarah, Mohd Kamilzuhairi Abdul Aziz26 MEI 2011