12 Januari 2012 - 20:30

Pertubuhan hak asasi manusia memberi amaran tentang keselamatan remaja 15 tahun yang di tangkap oleh polis Bahrain.


Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) -Seorang remaja lelaki, Ameer AbdulSamad, 15, dikhuatiri maut dalam tahanan pihak berkuasa Bahrain kerana sedang mengidap penyakit Sleep Apnea. Sebelum ditahan, beliau sentiasa mendapatkan rawatan kerana penderitaan yang dialaminya terlalu parah sehingga perlu diawasi ketika tidur. Dalam beberapa blog, beliau dinamakan sebagai Syahid Ba'di kerana dianggap peluang hidupnya semakin tipis dalam penjara.

Pihak pertubuhan hak asasi manusia di Bahrain BCHR menyatakan, penderitaan Ameer sangatlah parah berdasarkan laporan kesihatannya kerana appenia yang dihidapinya boleh menyebabkan seseorang itu sesak nafas ketika tidur atau baring serta memerlukan bantuan mesin pernafasan oksigen yang hanya terdapat di hospital pakar. Situasi kesihatannya bertambah buruk. Ameer juga menderitai penyakit dysfunctional bladder dan sukar bernafas. Nyawanya dikhuatiri melayang apabila ditempatkan di dalam penjara.

Ameer ditangkap ketika menyertai tunjuk perasaan yang menyaksikan ramai remaja bawah 18 tahun ditahan di Muharraq. Mereka dipenjarakan tanpa sebarang alasan atau waran tangkap selain dituduh menyertai perhimpunan haram. Namun menurut maklumat BCHR tidak ada demonstrasi di kawasan tersebut sebelum penangkapan itu.

Setelah itu Ameer tidak pernah ditampilkan di hadapan penghakiman di mahkamah. Apabila ibu bapanya bertanya, pegawai polis hanya menjawab beliau tidak dapat hadir kerana cedera parah akibat dipukul. Setiap hari kedua ibu bapa cuba menyerahkan ubatnya namun pengawal penjara tidak melayan mereka.