27 Januari 2012 - 20:30

Askar Pakistan berjaya membunuh sekurang-kurangnya 22 pengganas dan mencederakan beberapa yang lain, di sempadan Afghanistan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Sekurang-kurangnya 22 pengganas maut dan 27 orang yang lain cedera apabila berbalas tembakan dengan tentera Pakistan di wilayah Kurram, Khamis lalu.

Pertempuran sengit ini juga menyebabkan 23 tentera Pakistan cedera dan mereka ini segera dibawa ke hospital tempatan. Beberapa orang daripada yang cedera berada di dalam keadaan kritikal.

Wilayah Kurram dianggap sebagai markas utama kumpulan pengganas Tehrik-e Taliban Pakistan (TTP). Beberapa pengganas yang berprofail tinggi dipercayai berlindung di sana.

Meskipun kerajaan Pakistan melancarkan beberapa operasi membanteras pengganas TTP, mereka masih sempat meluaskan pengaruh dan pembunuhan ribuan orang awam.

Lebih 35,000 rakyat Pakistan maut dalam siri-siri pengeboman sejak tahun 2007, menurut Associated Press.

Beribu-ribu orang awam menjadi pelarian sejak keganasan tercetus dan operasi ketenteraan di seluruh negara itu.