16 Mac 2012 - 12:19

Majma' Ahlul Bait menganjurkan majlis mengenang kesyahidan Imam Masjid Al-Ridha, Brussels, Syeikh Abdullah Dahdoh.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Majma' Ahlul Bait telah menganjurkan majlis mengenang kesyahidan Imam Masjid Al-Ridha, Syeikh Abdullah Dahdoh di Husainiyah Syuhada, Qom yang dihadiri para marji' taqlid, para ulama dan pelajar hawzah.

Di kalangan marji' taqlid yang hadir ialah Ayatullah Alawi Gurgani. Manakala para ulama pula terdiri daripada wakil marji' Ayatullah Sayed Ali Sistani, Ayatullah Ustadi, Moqtada'i, Hujjatul Islam Burujerdi, Husaini Busyahri, A'rafi, Syaristani (ketua pejabat Ayatullah Sistani), Milani, Al-Qomi (Timbalan Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa pejabat Rahbar), Sayid Ridha Al-Hakim (anak Ayatullah Al-Uzma Sayid Sa'id Al-Hakim), Ustaz Tijani dan ramai lagi ulama bersama-sama menghidupkan majlis tersebut.

Selain itu, antara yang diundang ialah wakil daripada Yayasan Imam Sodiq, Persatuan Pelajar Maghribi Hawzah Qom, Universiti Antarabangsa Al-Mustafa, Pusat Penyelidikan Komputer Sains Islam dan Timbalan Jabatan Antarabangsa Hawzah Ilmiyah Qom.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran mengenai ciri-ciri kesyahidan, kebudayaan shayadah dan jihad dari surah An-Nisa, ayat 96 yang bermaksud:

"Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk daripada kalangan orang-orang yang beriman dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik, dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk dengan pahala yang amat besar; "

Hujjatul Islam Ahangaran dalam ucapannya menerangkan bahawa musuh-musuh Islam dan Syiah sentiasa mencari jalan bagaimana menghapuskan cahaya Allah, terutamanya Syiah yang ingin membela Islam sejati sehingga sanggup mengorbankan nyawa, jiwa dan harta mereka di jalan Allah.

Beliau menjelaskan, As-Syahid Abdullah Dahdoh merupakan salah seorang syuhada sejati. Katanya, "As-Syahid Dahdoh seorang alim, aktivis, sukarelawan, pencinta ajaran Ahlul Bait yang menepati ayat: «لَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَآئِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي الدِّينِ...»

Hujjatul Islam Ahangaran berkata, As-Syahid yang berbahagia ini telah berhijrah ke Brussels untuk tabligh, dakwah dan membela ajaran Ahlul Bait sehingga terkorban di dalam pusat Islam Imam Ridha di kota ini ketika bertugas."

Dalam serangan pengganas pada 13 Mac lalu, Hujjatul Islam Abdullah Dahdoh terkorban apabila pelampau Wahabi membakar masjid Al-Ridha Brussels, Belgium. As-Syahid Abdullah merupakan anggota Majma' Ahlul Bait dan imam masjid tersebut.