13 September 2013 - 19:30
Semua mazhab harus bersatu hadapi Takfiri

Setiausaha Agung Lembaga Pendekatan Antara Mazhab, Ayatullah Syeikh Mohsen al-Araki menyeru semua mazhab bersatu untuk menghadapi golongan Takfiri.

الأمين العام للمجمع العالمي للتقريب بين المذاهب آية الله الشيخ محسن الآراكي

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Ayatullah Araki dalam sidang akhbar dua hari lalu yang turut dihadiri duta besar Iran ke Lubnan Ghazanfar Rukne Abadi dan beberapa orang ulama Syiah dan Ahlu Sunnah mempertikaikan kegiatan ganas golongan Takfiri di beberapa negara Islam dengan menyatakan, "Apakah hak mereka untuk berbuat demikian."

Beliau menyeru seluruh lapisan masyarakat yang terdiri dari berbagai mazhab dan agama agar memberikan fokus kepada logik dan keikhlasan dalam merealisasikan kehidupan masyarakat yang gemilang.

"Masyarakat kita mempunyai kekuatan untuk menjadi pemimpin dan tauladan, ini disebabkan kita mempunyai semua elemen-elemennya, cuma tidak mempunyai kemampuan untuk menjaga diri," jelas beliau.

Araki percaya isu Palestin merupakan salah satu dari kerosakan umat Islam sendiri yang tunduk kepada kekuasaan kuasa besar dunia, sedangkan musuh tidak dapat melumpuhkan 'kehendak' umat yang tidak gentar dengan sesiapapun. Selain itu umat yang mempunyai pendirian utuh dalam dirinya pasti dapat mengharungi rintangan dan cabaran.

Tambah beliau lagi, "Kita berpecah belah apabila mereka menanam entiti Israel di kalangan kita, ini bukan sekadar menjadi bencana untuk Palestin sahaja walaupun mereka yang menerima kezalimannya, bahkan misinya untuk menjatuhkan identiti umat, menghancurkan kebebasan kehendak penduduk di rantau ini dan inilah bahaya paling besar yang menyerang masyarakat dan rantau kita, maka kita menjadi umat yang didominasi selama 'kehendak'nya dijajah."

Ayatullah Araki menjelaskan, "Penanaman entiti ini menyebabkan kita dilanda fitnah sesama sendiri yang berasaskan konflik kaum, suku dan mazhab padahal kita adalah masyarakat yang satu, dan umat yang satu." Beliau turut menyentuh tentang pendudukan kuasa asing di Afghanistan, Iraq dan beberapa kejadian yang terjadi di Syria dan Mesir.